PETALING JAYA: Kumpulan Bunkface tidak akan menukar identitinya sebagai kumpulan yang membawakan muzik punk rock ini semata-mata untuk diterima masuk ke pasaran muzik Indonesia. Vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, berkata, negara jiran tersebut sukar menerima aliran muzik yang dibawa kumpulan mereka jika tidak mengikut beberapa syarat tertentu. "Kalau ingin diterima di Indonesia kami perlu duet dengan artis negara itu, tahu berbahasa Indonesia dan tinggal di sana. "Namun, kami tidak akan tukar cara dan identiti Bunkface semata-mata untuk masuk pasaran negara Indonesia, kalau mereka mereka tidak boleh terima tidak apa," ujarnya kepada mStar Online. Sam berkata, mereka sudah beberapa kali mengadakan persembahan dan menyertai acara besar di negara tersebut sejak akhir tahun lalu. Bagaimanapun, ia masih belum berjaya mendapat tempat dan menarik pendengar daripada negara itu. "Akhir tahun lalu kami sudah cuba beberapa kali mengadakan persembahan di Hard Rock Jakarta dan di Makasar serta beberapa karnival yang besar, namun ia seperti salam perkenalan. "Mereka suka tetapi mereka tidak panggil kami semula untuk persembahan," ujarnya. Selain Sam, kumpulan Bunkface turut dianggotai oleh Youk (Farouk Jafaar) dan Paan (Ahmad Farhan). Dalam pada itu, Sam berkata, dia berharap dengan bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music mampu memberi peluang kepada kumpulan tersebut menembusi pasaran luar. Jelasnya, impian untuk menembusi industri muzik luar sememangnya merupakan cita-cita setiap anak seni. "Siapa tidak mahu pergi pasaran luar, namun buat masa ini kami rasa peminat kami kuat di sini. Insya-Allah selepas berada bawah Sony Music ini kami dapat lebarkan sayap di negara luar," ujarnya. Bunkface yang baharu sahaja melancarkan album kedua mereka berjudul Malam Ini Kita Punya berharap album tersebut diterima oleh peminat. Sementara itu, kata Sam, mereka bakal mengadakan konsert jelajah universiti sempena mempromosi album tersebut. "Sempena mempromosi album ini kami akan adakan mengadakan konsert jelajah universiti yang akan dimulakan dalam masa terdekat. "Kita tahu kekuatan peminat ramai di universiti sebab itu kami pilih untuk buat persembahan di sana," ujarnya.