KAJANG: Pakar motivasi iaitu Azman Syah Alias diumumkan sebagai juara rancangan realiti agama Islam, Pencetus Ummah (PU) musim kedua dalam pertandingan akhir yang diadakan di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), di sini malam Jumaat. Kemenangan pemuda berusia 33 tahun itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej umrah, pakej percutian dan ceramah di atas kapal pelayaran mewah 4 hari 3 malam, senaskah Al-Quran dan bahan bacaan sumbangan Karya Bestari. Selain hadiah berkenaan, dia juga memenangi PU Pilihan Prudential Bank Simpanan Nasional (BSN) yang membawa pulang pakej umrah bernilai RM5,000 dan PU Pilihan Radio Sinar FM. Pada pertandingan akhir itu Azman memilih tajuk Takdo Alasan Tinggal Solat, Isu Islamfobia dan Hati Mati Jasad Layu. Bagi tempat kedua pula dimenangi oleh Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli, 25, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Mohd. Lokman Ahmad, 29, dan Mohd. Yusof Arbain, 34. Finalis pencetus Ummah musim kedua Pemenang kedua mendapat wang tunai RM50,000 manakala bagi tempat ketiga dan keempat memperoleh wang tunai RM10,000 bersama beberapa hadiah iringan lain termasuk trofi. Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Astro Malaysia, Tun Zaki Tun Azmi. Antara artis yang turut membuat persembahan ialah Datuk Hattan, Mawi, Hazama dan Ayai (Ilusi). Pemilihan pemenang adalah berdasarkan sistem pemarkahan sebanyak 70 peratus oleh juri di studio sementara selebihnya adalah pilihan penonton. Antara juri terlibat dalam PU musim kedua ini ialah Ustaz Kazim Elias, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, deejay Sinar FM, Abby Fana dan komposer dari Indonesia, Opick sebagai juri jemputan. Pentas akhir Pencerus Ummah ini dihoskan oleh ustaz Zulkefli Hamat dan pelakon Fizo Omar. Ia disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD.