suria

Persatuan Wartawan, Karyawan Ajak Bantu Mangsa Banjir

Emma Maembong dijangka menyertai kempen Sentuhan Hati Ke Hati bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) untuk mangsa-mangsa banjir.

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) sedang mengaturkan kutipan barang-barang keperluan untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sejak minggu lalu.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya menyeru artis tempatan dan orang ramai untuk menghulurkan bantuan dalam meringankan beban mangsa yang terlibat.

"Pihak Karyawan bermula Khamis (semalam) sedang giat mengaturkan pengumpulan barang-barang keperluan untuk mangsa banjir dan kami berharap akan mendapat sokongan daripada artis dan orang ramai untuk tujuan tersebut.

"Setakat ini respons yang pihak kami terima sangat memberangsangkan dan berharap akan lebih ramai artis tampil memberikan bantuan," katanya kepada mStar Online.

Jelas Freddie antara barang yang boleh didermakan seperti makanan, lampin pakai buang, pakaian, selimut dan wang tunai.

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

Dalam pada itu, Freddie berkata, pihaknya akan menetapkan satu tarikh sesuai untuk menghantar barang bantuan kepada mangsa banjir dan turut mengalu-alukan penglibatan golongan artis.

"Ini adalah masa paling sesuai untuk semua penggiat seni bersatu dan membantu golongan yang tidak bernasib baik dan kami di Karyawan amat mengalu-alukan penglibatan mereka," katanya.

Tambah Freddie lagi, barang yang ingin disumbangkan boleh dihantar ke pejabat Karyawan yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut melancarkan kempen Sentuhan Hati Ke Hati bagi tujuan yang sama.

Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, kempen ini bertujuan mengumpul barangan keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang menderita akibat bencana menimpa.

"Kami memerlukan sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan makanan untuk diagih-agihkan kepada mangsa terlibat dengan segera. Kempen ini akan turut disertai artis-artis tempatan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.

Antara artis yang terlibat termasuklah Zul Yahya, Azza (Elite), Siti Fazurina, Emma Maembong.

Lebih ramai lagi artis dijangka menyertai kempen ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan wang tunai bolehlah melakukannya melalui akauan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di nombor akaun: 2141-6500-0201-70 (RHB).

Segala keterangan lanjut berhubung kempen berkenaan bolehlah menghubungi talian 012-2518801 (Tengku Khalidah), 018-7785456 (Azza) atau 012-2473105 (Kelly Azman).

Karyawan, Freddie Fernadez, WHAM

Artikel Berikut

Artikel Lain