PETALING JAYA: Pihak produksi terpaksa memujuk pelakon dan pelawak Abon untuk membawakan peranan sebagai Tok Bomoh dalam telefilem Hantu Langsir yang bakal disiarkan pada 27 Disember ini di TV3. Penerbitnya, Hazmimi Johar, berkata, Abon pada awalnya tidak bersetuju kerana dia kini jarang menerima tawaran berlakon disebabkan memberi tumpuan kepada persembahan pentas. "Kami dipihak produksi memang mahukan Abon memegang watak berkenaan dan tidak melihat pelakon lain boleh menjayakan peranan itu biarpun pada awalnya dia tidak bersetuju. "Bagaimanapun selepas dipujuk Abon akhirnya bersetuju biarpun dia bukan watak utama dalam telefilem berkenaan," katanya kepada mStar Online. Selain mengarah, Ahmad Tarmimi turut berlakon dalam Hantu Langsir. Hantu Langsir akan menemui penonton meneusi slot Cerekarama pada pukul 9 malam di TV3. Selain Abon, drama arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Harun Salim Bachik, Liza Abdullah, Arash Mohd, Izzue Kepoh, Afiq Muiz dan Faralyana. Dalam pada itu, Hazmimi berkata, dia memandang tinggi terhadap disiplin pelakon berkenaan yang sanggup ke Bentong, Pahang iaitu lokasi penggambaran sejurus selepas selesai mengadakan persembahan pentas di Kuantan, Pahang. "Biarpun pada awalnya dia menolak tetapi disiplin yang ditunjukkan cukup mengagumkan dan itulah kelebihan orang lama," ujarnya. Pelakon Afiq Muiz dan Arash Mohd dalam satu babak dalam drama tersebut. Dalam pada itu, Hazmimi berkata, pihaknya turut memilih Ahmad Tarmimi sebagai pengarah kerana yakin dengan kredibiliti pelakon veteran itu merialisasikan konsep dan jalan cerita yang ingin diketengahkan. Jelas Hazmimi lagi, Ahmad Tarmimi juga sudah lama tidak muncul sebagai pengarah dan pihaknya berpuas hati dengan hasil kerjanya menerusi Hantu Langsir. "Hampir setahun beliau tidak mengarah dan apabila pihaknya setuju untuk mengarahkan drama ini saya cukup gembira kerana percaya dengan kredibilitinya. "Sentuhan yang diberikan kepada Hantu Langsir sangat berbeza dan yakin penonton akan menyukai drama ini," ujarnya. Drama itu mengisahkan mengenai 'sumpahan' bahawa hantu langsir akan kembali ke Kampung Langsir selepas 50 tahun. Kekecohan mula berlaku dikalangan penduduk selepas Rizal terlihat kelibat hantu di sebalik langsir dirumahnya dan sejak itu mitos mengenai sumpahan tersebut kecoh di seluruh kampung.