suria

Nurul Wahab Dijangka Bersalin Awal Kerana Masalah Uri

Nurul bersama suaminya Eric dan anaknya Zachary.

PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab yang sepatutnya melahirkan anak keduanya pada bulan hadapan berkemungkinan bersalin sebulan awal kerana masalah uri.

Nurul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 37, berkata perkara tersebut berlaku selepas dia disahkan mengalami placenta previa atau uri berada di bawah sehingga terpaksa dimasukan ke Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini pada Rabu lalu.

"Saya mengalami pendarahan yang banyak pada pagi Rabu lalu dan suami terus membawa saya ke hospital. Doktor mandapati pendarahan tersebut disebabkan uri saya berada di bawah.

"Kandungan saya memasuki lapan bulan dan jika keadaan uri masih tidak bergerak saya akan bersalin bulan ini juga secara pembedahan. Sekarang saya masih dalam pemerhatian doktor selama 48 jam," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis.

Nurul dirawat di Pusat Perubatan Prince Court sejak Rabu lalu.

Nurul ditahan di wad pusat perubatan berkenaan selepas mengalami pendarahan teruk ketika ingin membuang air kecil pada pagi Rabu lalu.

Dalam pada itu, Nurul berkata, kandungannya berada dalam keadaan selamat dan sihat, namun dia tidak dibenarkan untuk terlalu banyak bergerak.

"Alhamdulillah, bayi sihat ketika sampai sahaja di sini, doktor terus memeriksa keadaan bayi dan kadar degupan jantungnya.

"Buat masa ini saya tidak dibenarkan angkat benda berat termasuk mendukung anak saya Zachary yang kini 11 kilogram, selain itu saya tidak dibenarkan bergerak aktif kecuali ke tandas sahaja," katanya.

Jelasnya, doktor akan membuat pemeriksaan semula dalam dua minggu lagi bagi memastikan keputusan untuk bersalin secara normal atau pembedahan.

Sementara itu, Nurul menjelaskan placenta previa merupakan keadaan yang boleh berlaku kepada sesiapa juga ibu mengandung tanpa sebarang sebab tertentu.

Nurul bernikah dengan Eric Daniel Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Zachary Depp, berusia setahun.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan dengan suami pertama, komposer, Ajai.

Nurul Wahab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain