suria

Gimik Tidak Menjadi, Lamaran Hairul Azreen Terhadap Hanis Zalikha Jadi Bahan Kutukan

KUALA LUMPUR: Hasrat pelakon Hairul Azreen untuk memperlihatkan kepada ‘dunia’ cintanya terhadap Hanis Zalikha dengan melamarnya dalam sebuah rancangan siaran langsung mengundang padah apabila mereka dikutuk oleh peminat.

Pengguna laman sosial memberi reaksi negatif sebaik sahaja Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 27, melakukan gimik di pentas final Gegar Vaganza pada malam Ahad dengan meluahkan hasrat melamar kekasihnya itu.

Pengguna laman sosial turut berpendapat gimik berkenaan ‘tidak kena pada tempat’ selain agak keterlaluan dan memalukan.

Pada malam konsert tersebut, Hairul muncul di pentas menyertai barisan penari lain membuat persembahan bersama kumpulan Kristal menerusi lagu Marry Me, nyanyian asal Bruno Mars.

Pada persembahan itu, Hairul telah membuat aksi breakdance sebelum pengacara program itu, Nabil Ahmad dan Jihan Muse menjemput Hanis naik ke pentas sebelum lamaran dibuat.

Bagaimanapun sejurus selepas konsert itu berlangsung, Hairul dan Hanis atau nama sebenarnya Hanis Zalikha Zainal, 25, muncul memberi penjelasan berhubung gimik berkenaan.



Dalam sidang media yang berakhir kira-kira pukul 1.45 pagi Selasa itu, Hairul menafikan tujuan lamaran itu untuk meraih tumpuan umum.

Katanya, lamaran tersebut dibuat dengan niat ikhlas untuk memberitahu kepada umum bahawa dia serius menjalinkan hubungan cinta dengan aktres itu.

"Sebelum ini apabila wartawan tanya, saya jawab Hanis adalah kawan baik saya dan apabila sampai masanya saya akan memberitahu secara umum (mengenai hubungan sebenar mereka).

"Jadi saya kotakan janji itu menerusi kejutan lamaran ini bahawa kami sedang menjalinkan hubungan," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, idea membuat kejutan lamaran dipersetujui bersamanya dengan pihak Astro selepas dia meberitahu hasrat hati untuk melamar Hanis.

Akhirnya pihak Astro membuat keputusan melakukan gimik lamaran berkenaan tanpa pengetahuan Hanis sehinggalah apabila acara berkenaan berlangsung.

"Sebenarnya lamaran ini telah dirancang sejak tiga bulan lalu. Benda ini semua kebetulan, apabila berborak dengan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, dia tanya 'bila nak kahwin?'.

"Saya pun cakaplah memang dalam perancangan dan dia bertanya nak tak buat lamaran secara langsung di sebuah program?”

"Mula-mula risau la juga, apa orang ramai kata pula, tetapi daripada sudut lain pula saya lihat ia satu peluang untuk memberitahu Hanis betapa seriusnya saya mahu bersama dia.

"Tambahan pula dia pernah menunjukkan video-video lamaran di YouTube, dan menganggap ia sesuatu  yang sangat romantis. Maka saya pun ingin berbuat demikian untuk menggembirakannya juga," ujar Hairul.

Dalam pada itu Hairul berkata dia sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada orang ramai sekiranya mereka tidak gemar dengan tindakannya melamar Hanis dalam pentas akhir Gegar Vaganza itu.

Sementara itu Raqim berkata pihaknya tidak menganggap kejutan lamaran tersebut adalah satu kesilapan sebaliknya ia adalah satu elemen kejutan yang menjadi kekuatan dalam setiap program-program terbitan Astro.

Hairul Azreen, Hanis Zalikha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain