PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat tidak mempunyai sebarang aplikasi di telefonnya untuk membuat undian sendiri bagi membolehkan dia memenangi dua kategori dalam Anugerah MeleTOP Era 2015 (AME 2015) pada 22 Februari lalu. Malah, Ayda atau nama sebenar,Nur Suhada Jebat, 23, berkata, dia juga tidak mempunyai banyak masa untuk berbuat demikian semata-mata bagi merebut gelaran itu. "Dalam telefon saya tiada sebarang aplikasi Astro atau Anugerah Meletop untuk undian online yang membolehkan saya mengundi diri sendiri. Malah saya sendiri tiada masa untuk berbuat demikian," ujarnya kepada mStar Online. Ayda berkata demikian ketika diminta mengulas pendapat segelintir pihak yang melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap kemenangannya dalam anugerah berkenaan kerana kemunculannya masih lagi baharu. Beliau menenangi kategori utama iaitu Top Top MeleTop (Wanita) dan Artis Baharu MeleTOP, AME 2015. Kemenangan itu melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 berserta trofi sumbangan Astro. Top Top MeleTop (Lelaki) pula dimenangi oleh Johan (Raja Lawak). Ayda Jebat dan Johan masing-masing memenangi kategori utama. Dalam apda itu Ayda tidak menafikan terdapat kempen tertentu yang dilakukan oleh kelab peminatnya iaitu AJsceamer bagi meraih undian orang ramai agar dia memenangi anugerah berkenaan. "Saya akui kelab peminat saya banyak membantu, mereka berkempen setiap hari agar orang ramai mengundi saya. "Setiap setiap malam mereka menghasilkan poster saya untuk dimuat naik di laman-laman sosial bagi menginggatkan orang ramai agar mengundi saya, " ujarnya. Dalam pada itu, Ayda menganggap kritikan tidak puas hati segelintir masyarakat terhadap kemenangannya itu sebagai pembakar semangat untuk dia menjadi artis yang lebih baik pada masa hadapan. Dia menghargai apa juga pandangan indvidu dan mengambil perkara itu daripada sudut yang positif. "Saya hargai pendapat orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap kemenangan saya. Saya berjanji untuk menjadi pelakon yang lebih baik berbanding sebelum ini. "Sebagai artis baru, saya ambil kritikan tersebut daripada sudut yang baik dan positif kerana ia adalah rezeki Allah dan kita terima apa yang sudah diaturkan," ujarnya. Ayda juga menganggap kemenangan tersebut adalah pembuka tahun yang baik untuknya dan berjanji untuk memberikan yang terbaik buat peminat yang bersusah payah untuk melihat dia berjaya dalam industri hiburan tanah air.