PETALING JAYA: Pereka fesyen Fiziwoo menganggap segelintir pihak yang mengkritik busana dipakai pengacara Neelofa semasa Anugerah Meletop Era 2015 (AME 2015) pada Ahad lalu sebagai individu buta fesyen. Fiziwoo atau nama sebenarnya Hafizi Radzi Woo berkata, dia sudah meminta pendapat lebih 10 pakar fesyen tanah air tentang rekaan tersebut sebelum digayakan Neelofa. "Mereka tidak tahu tentang fesyen dan melihat apa juga perkara yang baru dari sudut pandangan negatif dengan tujuan mengkritik sahaja. "Sebelum ia dipakai Neelofa saya sudah terlebih dahulu minta pendapat pakar-pakar yang tahu tentang fesyen termasuk editor majalah antarabangsa mengenai baju rekaan saya itu. "Dan mereka semua beri reaksi positif serta menganggap ia setanding dengan kualiti rekaan peringkat antarabangsa," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Jumaat. Fiziwoo berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan segelintir masyarakat terhadap fesyen digayakan Neelofa dalam anugerah itu yang disamakan seperti sotong. Busana dipakai Neelofa pada Anugerah Meletop Era 2015 lalu berinspirasikan bunga ros. Fizi turut menjelaskan baju itu adalah diinspirasikan daripada bunga ros dengan beberapa lapisan bersesuaian dengan konsep wanita bertudung. Tambahnya, mereka juga menggunakan bahan yang terbaik dan berkualiti tinggi setaraf dengan busana artis antarabangsa. "Kita ambil inspirasi bunga ros dan bahan daripada kain Crenoline yang biasa digunakan oleh jenama terkenal Vera Wang dan Elie Saab International. Lapisan-lapisan itu adalah bersesuaian dengan Neelofa yang bertudung kerana ia menutup dada dan tidak ketat. "Ia dibeli di Joel and Sons di London dan proses membuatnya mengambil masa hampir sebulan kerana ia dilakukan secara teliti. Boleh dikatakan 70 peratus menggunakan jahitan tangan," ujarnya. Tambah Fiziwoo, busana tersebut dibeli oleh Neelofa dengan harga lebih RM10,000 dan ia bukan tajaan percuma. Disebabkan itu, pihaknya memberikan penampilan terbaik untuk Neelofa. "Baju itu bukan kami sponser sebaliknya Neelofa bayar untuk kami hasilkan yang terbaik buatnya. "Butik kami juga tidak pernah memberi tajaan kepada mana-mana artis untuk tujuan promosi. Ramai artis yang menggunakan khidmat kami adalah berbayar," ujarnya. Sebelum ini, Fiziwoo turut membuat baju untuk pengacara Scha Al-Yahya dan majlis pertunangan Hanez Suraya. Sementara itu, Fiziwoo berkata, ketika diminta untuk mereka baju kepada pengacara itu, dia menganggap ia sebagai tanggungjawab yang besar. Pihaknya sudah bersedia dengan pelbagai tanggapan negatif masyarakat terutamanya yang sering mencari kesilapan. "Pada awal diminta untuk buat baju Neelofa bagi AME 2015 saya agak bimbang kerana ia tanggungjawab berat kerana sebelum ini Neelofa pernah ada isu tentang pakaian di anugerah yang sama tahun lalu. "Oleh itu saya berusaha beri yang terbaik supaya perkara seperti itu tidak berulang kembali," ujarnya.