suria

Pengarah Kekal Idea Asal Teater 'Kena Main'

Antara babak dalam teater Kena Main
KUALA LUMPUR:Pengarah teater Khalid Salleh mengekalkan konsep dan idea asal pemantasan teater Kena Main yang akan dipentaskan pada 27 Mac hingga 5 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Khalid Salleh berkata, penceritaan yang disampaikan melalui pementasan teater kali ini adalah sama dengan penceritaan teater yang pernah dipentaskan pada tahun 1999.

"Naskah penceritaan yang terdapat di dalam teater ini tidak berubah dan ia adalah sama seperti idea asal yang disampaikan pada pementasan pertama.

"Kandungan dan jalur cerita asalnya tidak di tukar kerana belum dibedah dan ianya masih murni lagi.




"Cuma terdapat sedikit penambahan di awal dan akhir cerita ini supaya ia disesuaikan dengan suasana di istana budaya ini," katanya kepada mStar Online.  

Khalid berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton teater Kena Main bersama media yang diadakan di Panggung Sari Istana Budaya, di sini, malam Jumaat.

Teater ini dibintangi oleh Ebby Saiful, Rodhi Md Nor, Aida Othman, Eman Manan, Azizah Mahzan, Azman Hassan, Sabri Yunus dan Fauziah Nawi. 

Tambahnya lagi, teater ini banyak memberi pengajaran tentang kisah hidup  kita berdasarkan nilai setia kawan, agama dan toleransi terhadap undang-undang. 

  

"Segala mesej yang hendak disampaikan penuh dengan sindiran dan membawa kita kembali untuk merenung kehidupan sebenar yang kita lalui secara tidak langsung memberikan pengajaran kepada penonton.

"Sebenarnya orang buta ini halus perasaannya dan kita yang celik sebenarnya lagi buta daripada orang buta kerana buta sejarah, buta budaya, buta rasa kemanusian serta banyak lagi hal kebutaan yang terdapat dalam hidup kita," jelasnya lagi.

Terdahulu, teater Kena Main telah mencipta sejarah dalam 'The Malaysia Book of Record' sebagai teater pertama di Malaysia yang menampilkan orang kurang upaya (cacat penglihatan) sebagai watak utama pada tahun 1998.

Teater Kena Main ini akan mula dipentaskan pada 27 Mac ini sehingga 5 April depan di Panggung Sari Istana Budaya mengisahkan kegigihan dan sikap tidak berputus asa pemuzik jalanan yang cacat penglihatan menghadapi cabaran dalam mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Kena Main, Istana Budaya

Artikel Sebelum

Artikel Lain