PETALING JAYA: Pelakon Zara Zya mengakui bukan mudah baginya untuk mengekalkan momentum sebagai pelakon setelah 10 tahun melibatkan diri dalam industri seni tanah air. Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 30, berkata, dia perlu berkerja keras untuk memastikan watak yang dibawanya memberi kesan kepada penonton. "Bukan mudah untuk mengekalkan momentum kerana saya perlu hadir dengan watak-watak yang mencabar agar lakonan saya terus diingati. Bukannya apa, jika kita selalu muncul dalam drama tapi orang tak ingat lakonan kita, ia tak kena juga,” katanya kepada mStar Online. Zara Zya Zara diminta untuk mengulas mengenai cara dia mengekalkan momentum sebagai artis yang telah 10 tahun melibatkan diri didalam industri tanah air. Dalam pada itu tambah Zara, dia kini kurang mendapat publisiti berbanding pelakon baru yang lain tetapi bersyukur kerana masih mendapat tawaran berlakon. "Mungkin orang kurang mengenali saya kerana sekarang ini saya kurang keluar dalam surat khabar ataupun majalah berbanding artis lain. "Bagi saya perkara ini juga sesuatu yang baik kerana bila saya senyap dan tiba-tiba produk lakonan keluar, saya percaya ia akan memberi kesan kepada penonton dan cara itu lagi bagus," katanya. Dalam perkembangan lain, Zara bakal keluar dengan drama berjudul Dan Calonnya Adalah menerusi di portal Tonton pada 18 Mei ini dan Hidayahmu Ramadan untuk slot Samarinda sempena Ramadan nanti.