suria

Suami Lana Nodin Belajar 10 Perkataan Bahasa Melayu Sehari

Lana kelihatan anggun di hari pernikahannya. FOTO: @avicennastudio & @bungastudio
SERDANG: Pelakon Lana Nodin menyifatkan suaminya, Mohd Daud McKienzie seorang lelaki yang rajin dan suka mengambil tahu budaya Melayu untuk mendapatkan keserasian diri bersama keluarganya.

Malah, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 35, berkata,  Daud turut memastikan dia dapat belajar sepuluh perkataan baharu Bahasa Melayu setiap hari agar cepat fasih berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan itu.

"Alhamdulillah, Daud seorang yang sentiasa ingin tahu dan perkara itu membuatkan keluarga saya cuba membantu dia mempelajari budaya Melayu.

"Malah Daud akan memastikan sepuluh perkataan Bahasa Melayu baru akan dipelajarinya setiap hari. Dia juga mula belajar makanan Melayu, cuma tak tahan pedas saja," katanya.

Lana selamat bergelar isteri kepada pemain pasukan bola tampar Amerika Syarikat  itu dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.35 pagi Jumaat.

Anggun pada majlis resepsi perkahwinan. Foto dari Instagram Lana Nodin.

Majlis resepsi diadakan pada sebelah malamnya di lokasi sama bertemakan Inggeris moden.

Pasangan itu mula berkenalan pada 26 Oktober tahun lalu dalam sebuah acara berkaitan sukan yang berlangsung di Singapura dan mereka sering berhubung menerusi Skype dan Facetime.

Sementara itu Lana turut bersyukur apabila suaminya yang juga merupakan jurulatih di Akademi Bola Tampar Singapura rajin belajar mengenai agama Islam.

"Apa yang saya nampak Daud sering bertanya mengenai agama Islam. Ada masanya dia keliru antara syariat Islam dan adat.

"Mujurlah dengan teknologi sekarang, informasi boleh didapati di hujung jari sahaja. Dia rajin mencari info di laman carian Google," tuturnya.

Sementara itu, Lana berkata buat masa ini dia akan mengikuti Daud ke mana sahaja sementara suaminya mencari peluang untuk membuka akademi bola tampar di Malaysia.

Malah Lana juga akan berehat daripada berlakon buat sementara waktu.

Lana Nodin

Artikel Lain