KUALA LUMPUR: Seramai lapan peserta diumumkan berjaya ke peringkat akhir pertandingan Juara Pujaan 2015 yang diadakan secara langsung di Angkasapuri di sini pada malam Sabtu. Lapan peserta tersebut ialah Iris, Syafeek, Rahman, Atira, Mimi, Syahz, Zharif dan Alynn. Pada pertandingan itu, seramai 14 peserta diberi tugasan untuk menyanyikan lagu bertemakan pop etnik. Para peserta diadali oleh juri profesional tetap iaitu penyanyi Juliza Adzlizan, Edykismirladi dan komposer Pak Ngah sebagai juri jemputan. Pertandingan tersebut turut dihiburkan dengan persembahan pembukaan bertenaga daripada penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris menyampaikan lagu Dikir Puteri dengan iringan muzik oleh komposer Pak Ngah. Pada malam itu, komposer Pak Ngah telah dipilih sebagai Ikon mingguan pada minggu ini bersesuaian dengan tema pop etnik.Acara pada malam itu dikendalikan oleh pengacara Alif Hadi yang digandingkan bersama penyampai radio RTM iaitu DJ Odey dari Nasional FM dan Azrul. Juara Pujaan merupakan rancangan untuk mencari penyanyi-penyanyi baharu yang mempunyai minat dan kecintaan yang mendalam terhadap lagu-lagu malar segar untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni suara tanah air. Peringkat akhir Juara Pujaan 2015 akan berlangsung pada 24 Mei di Auditorium Perdana, Angkasapuri, RTM secara langsung menerusi saluran TV2 atau myklik.rtm.gov dan di RTM Mobile. Para peserta yang berjaya masuk ke peringkat akhir akan menyampaikan sebuah lagu bertemakan Rock.