PETALING JAYA: Penyanyi Yazer menyifatkan foto selfie di atas katil bersama isteri iaitu Ekin Rahman yang dimuat naik di Instagram mereka pada bulan lalu adalah satu kesilapan besar. Yazer atau nama sebenarnya Mohd Yazer Yusof, 33, berkata, dia tidak menyangka tindakan itu menjadi kontroversi selepas mereka dikutuk walaupun pada mulanya niat mereka untuk memberitahu sudah berada di kampung halaman iaitu Kampung Bebuloh Laut, Labuan. "Jujurnya kami tidak sangka foto tersebut akan menimbulkan isu di kalangan netizen. "Apabila ia menjadi viral, ia membuatkan saya gelisah. Saya belajar daripada kesilapan tersebut iaitu walaupun kami suami-isteri, apabila timbulnya isu seperti ini, ia agak sensitif di kalangan masyarakat," katanya kepada mStar Online. Pada awal Mei lalu, pasangan suami-isteri ini menjadi perhatian selepas sekeping gambar selfie di atas katil dikongsikan di akaun sosial masing masing. Ekin atau nama sebenarnya Norashikin Abdul Rahman, 31, dan Yazer dikritik pengikut-pengikut mereka yang menganggap foto tersebut kurang sopan. Bagaimanapun Ekin telah membalas semula komen-komen tersebut dan menyifatkan para pengikut sepatutnya tiada hak untuk mengkritik. Sementara itu, Yazer berkata, perkara tersebut mengajar mereka agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik foto yang boleh mengundang kutukan masyarakat. Apatah lagi mereka tidak pernah mencetuskan sebarang isu dan kontroversi berkenaan membuka mata mereka untuk lebih peka selain berfikir dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan. "Dari dulu lagi saya cuba elak daripada terjerumus dengan kontroversi. Saya mahu orang melihat kerjaya saya yang berkembang. Tetapi sebaliknya pula berlaku. "Apa-apapun kami akan lebih berhati-hati selepas ini," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Yazer berkata, Ekin kini sedang mengandung dan dijangka bersalin pada September depan. Yazer dan Ekin telah bernikah pada 26 Disember tahun lalu.