SHAH ALAM: Bekas anggota kumpulan Elite, Linda Rafar akhirnya muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk menyerahkan borang pengesahan lafaz cerai pada Jumaat. Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, 37, tiba di kaunter pejabat pendaftar mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi ditemani oleh tiga kenalannya. Terdahulu, Linda memberitahu akan hadir ke mahkamah pada Rabu lalu namun gagal menghadirkan diri kerana tidak sihat. Linda mendedahkan suaminya, Syed Aiman melafazkan cerai terhadapnya di kediaman mereka di sini kira-kira pukul 7.30 pagi Selasa lalu. Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Sementara itu, Linda dalam nada sebak memberitahu hatinya sudah tawar untuk menyelamatkan perkahwinannya dengan Syed Aiman. Mudah-mudahan ada sinar bahagia buat Linda dan Syed Aiman. Malah katanya, dia kini trauma dan fobia dengan kejadian menimpa rumah tangganya selain menegaskan dia tidak mengetahui punca sebenar lelaki berkenaan menceraikannya. "Sebelum diceraikan dia (Syed Aiman) tidak pulang ke rumah selama tiga hari kerana bekerja di luar kawasan namun selepas pulang dia berbeza dan langsung tidak bercakap dengan saya. "Saya ada menghantar WhatsApp bertanya tentang sikap dinginnya itu namun tidak dibalas dan dia tiba-tiba menceraikan saya pada pagi Selasa lalu. "Sehingga kini saya trauma dan fobia kerana tidak mengetahui punca sebenar tindakannya itu," ujarnya. Tambah Linda, dengan keadaan dirinya yang sedang hamil tiga bulan, perceraian langsung tidak berada dalam pemikirannya ditambah dia baharu kehilangan anak kesayangannya, Rezaimen Keiflin, 12, pada Julai tahun lalu. Bagaimanapun kata Linda, dia berharap suaminya bertanggungjawab dengan tindakannya itu dan bukannya berterusan menafikan kejadian itu. Jelas Linda, dia reda dengan apa yang berlaku dan terus tabah menghadapi dugaan daripada Allah demi anak-anak dan bayi dalam kandungannya. "Saya cuma minta satu iaitu supaya dia bertanggungjawab dengan perbuatannya dan buang ego yang ada dalam dirinya. "Saya fobia dengan apa yang berlaku tetapi anak-anak kekuatan saya dan ini adalah dugaan daripada Allah," katanya. Terdahulu menerusi laporan akhbar pada Jumaat, Syed Aiman mengakui dia masih sayangkan keluarganya dan menafikan telah melakukan lafaz cerai terhadap isterinya itu. Syed Aiman dan Linda berkahwin pada 2 Disember 2006 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Syed Rezaqiib, 6, dan Syed Rezariiq, 3. Bagi perkahwinan pertamanya dengan Keifli Othman, mereka mendapat dua orang anak iaitu Rezaril Keiflin, 14, dan Rezaiman Keiflin, 12. Bagaimanapun pada Julai tahun lalu, Rezaimen Keiflin meninggal dunia akibat ketumbuhan kronik dalam perut.