PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Faizal Tahir mencipta rekod tersendiri apabila dicalonkan dalam Anugerah MTV EMA (Europe Music Awards) dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Warner Music Malaysia, Faizal bakal bersaing dengan lima lagi calon dalam kategori sama iaitu James Reid (Filipina), NOAH (Indonesia), Slot Machine (Thailand), Son Tung M-TP (Vietnam) dan The Sam Willows (Singapore). MTV EMA yang memberi penghargaan kepada para pemuzik bakal berlangsung pada 26 Oktober depan di Mediolanum Forum, Itali. Siaran ulangan rancangan itu akan ditayangkan pada hari sama pada pukul 9 malam (waktu tempatan) di saluran MTV (Astro 713). Kemunculan semula Faizal menerusi lagu Assalamualaikum ternyata membawa tuah kepada penyanyi itu selepas ia mendapat sambutan hangat daripada peminat sehingga melayakkannya dicalonkan dalam kategori berkenaan.