suria

Zamarul Anggap Pelbagai Isu Melanda Keluarganya Ada Hikmah

Zamarul dan Diana sebelum ini pernah melalui detik hitam apabila mereka bercerai dan kemudiannya rujuk semula.

PETALING JAYA: Pelakon Zamarul Hisyam menganggap, pelbagai isu yang menghimpit keluarganya sejak kebelakangan ini adalah ujian yang mungkin mempunyai hikmah tersendiri.

Zamarul, 44, berkata, lebih mengejutkan semua isu berkenaan menjadi viral sehingga ia menarik perhatian masyarakat.

“Bagi saya, setiap apa yang timbul itu mempunyai hikmahnya dan kita sebagai manusia harus menempuh ujian itu dengan reda,” katanya kepada mStar Online.

Zamarul diminta mengulas mengenai pelbagai masalah yang melanda keluarganya termasuklah rumah tangga melibatkan kakak iparnya, Linda Rafar dan juga Syed Aiman.

Syed Aiman dikatakan melafazkan talak terhadap Linda pada pagi Selasa lepas dan wanita itu telah mengemukakan permohonan pengesahan lafaz cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini pada Jumaat lalu.

Sebelum itu, Zamarul dan Diana Rafar pernah melalu detik serupa apabila Zamarul melafazkan talak pada 14 Januari lalu namun mereka rujuk semula kira-kira sebulan kemudian.

Bagaimanapun timbul pula isu baharu apabila Diana menerusi akaun Instagram miliknya telah memuat naik gambar Zamarul dengan koleksi vape sambil meminta orang  ramai menasihati suaminya itu agar membuang tabiat suka mengumpul koleksi alat merokok elektronik berkenaan.

[SILA KLIK: Linda Rafar Sudah Tawar Hati Terhadap Suami]


Semoga ada sinar bahagia buat Linda dan Syed Aiman.

Kata Zamarul, isu vape itu telah disalah ertikan kerana Diana sebenarnya berhasrat untuk bergurau.

Dalam pada itu mengenai masalah rumah tangga Linda dan Syed Aiman, Zamarul berharap pasangan itu dapat kembali semula sebagai suami-isteri.

Katanya, sebagai individu yang bertanggungjawab menyatukan mereka, dia yakin masalah rumah tangga yang dihadapi Linda dan Syed Aiman dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya terkejut apabila mengetahui berita ini, saya dan Diana ada juga menunggu mereka hubungi kami untuk minta pendapat tapi sehingga sekarang tiada lagi. Saya sedih juga kerana saya yang bertanggungjawab satukan mereka.

"Saya pernah melalui kejadian seperti mereka dan saya faham ada masalah boleh dikongsi dan ada yang tidak. Jadi, bagilah ruang untuk mereka selesaikan masalah masing-masing," ujarnya.

Mengenai pendapatnya tentang hubungan Linda dan Syed Aiman, Zamarul menyifatkan kedua-dua selebriti itu adalah pasangan bahagia.

Katanya, Syed Aiman juga merupakan seorang lelaki yang bertanggungjawab dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

"Bagi saya mereka loving couple dan Syed Aiman seorang yang suka memasak di rumah, sayang anak-anak dan dia juga banyak habiskan masa bersama keluarga.

"Masalah ini mungkin mereka sahaja yang rasa, kita doa yang baik-baik sahaja untuk mereka," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain