GOMBAK: Pelakon filem Ophilia Kodi Rasheed menganggap perkahwinan bukan penghalang untuk dia terus aktif dan menempa nama dalam industri seni tanah air. Kodi atau nama sebenarnya Mohd Zhazmeer Mohd Rasheed, 25, berkata, dia sentiasa berpegang tiga prinsip iaitu doa, usaha dan tawakal untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. "Mula-mula ada risau juga sebab ramai yang cakap bila berkahwin nanti tak laku, orang tak panggil berlakon. Tapi saya tetapkan hati dan percaya rezeki daripada Allah. "Saya cuma pegang tiga perkara iaitu doa, usaha dan tawakal, Insya-Allah. Lagi pun saya lihat ramai sahaja artis yang sudah berkahwin tapi masih mendapat perhatian dan peminat ramai," ujarnya kepada mStar Online. Perkahwinan bukan penghalang Kodi untuk berjaya dalam bidang seni. Kodi ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya di Pusat Konvensyen Ideal, Batu Caves, dekat sini, Sabtu. Pelakon ini selamat dinikahkan dengan Nor Fatihah Mahad, 27, di kediaman wanita tersebut di Selayang, pada 31 Ogos lalu. Pada majlis persandingan bertemakan Bollywood itu, pasangan pengantin mengayakan baju kuning cair dan merah dengan bertemakan perkahwinan Bollywood. Sementara itu Kodi berkata, dia bercinta dengan isterinya lebih enam tahun dan mengambil keputusan tersebut selepas kedua-duanya berasa yakin untuk hidup bersama. "Kami bercinta sejak enam tahun lalu dan saya kenal dia sebab saya berkawan baik dengan adiknya. "Dia seorang yang penyayang dan faham dengan perangai saya yang kasar dan dia pun mudah untuk bertolak ansur," ujarnya. Tema Bollywood menjadi pilihan pasangan ini untuk majlis resepsi perkahwinan mereka. Dalam pada itu, Kodi berkata, isterinya itu juga tulang belakang yang banyak memberi sokongan kepadanya menceburi bidang lakonan. Kodi yang baharu menerima anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik menerusi filem Ophilia di Festivel Filem Malaysia ke 27 pada 5 September lalu menganggap penghargaan tersebut sebagai hadiah perkahwinannya. "Alhamdulillah, kemenangan itu adalah pembakar semangat saya untuk terus berada dalam industri seni tanah air. "Lebih istimewa ia berlaku ketika hari perkahwinan saya," ujarnya. Selain itu, beberapa artis turut hadir pada majlis tersebut antaranya pelakon Que Haidar, Izara Aishah, Sharifah Shahora dan Lia Natalia.