suria

Ewal Jawab Hubungan Gadis Bawah Umur

Ewal menyangkal dakwaan kononnya dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis dibawah umur.
PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas peserta program Akademi Fantasia (AF) 2014 iaitu Ewal menyangkal dakwaan kononnya dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bawah umur.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 23, bagaimanapun menegaskan hubungan mereka sekadar teman biasa.

"Gadis berkenaan seorang 'Insta Famous' dan saya mengenalinya daripada seorang kawan sebelum sering berhubung di Instagram.

"Bagaimanapun ingin saya tegaskan hubungan kami sekadar kawan biasa dan perkara itu sengaja dibangkitkan mungkin kerana agenda tertentu," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Ewal berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas peminatnya menerusi e-mel kepada sebuah akhbar mingguan yang mendedahkan percintaannya dengan remaja bawah umur selain dikatakan seorang yang tidak boleh ditegur.


Ewal dituduh tidak boleh ditegur.

Dalam pada itu, Ewal berkata, layanan yang dilihat istimewa terhadap gadis berkenaan turut menjadi punca dia menjadi sasaran pengikut di Instagram yang cemburu melihat kemesraan mereka.

Bagaimanapun kata Ewal, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu kesalahan kerana gadis berkenaan adalah kawannya di alam nyata.

"Saya layan peminat sama rata tetapi apabila timbul kononnya layanan berlebihan terhadap rakan saya itu dipersoalkan, saya jadi pelik.

"Ia sepatutnya tidak menjadi isu kerana gadis berkenaan adalah rakan yang saya kenali secara rapat. Salahkan kami saling berbalas komen di Instagram?" soalnya.

Sementara itu, Ewal berkata, dia kesal apabila menjadi sasaran segelintir pihak yang jelas ingin menjatuhkan karier seninya hanya kerana isu remeh.


Ewal tidak mengetahui identiti sebenar pengirim e-mel memburukkannya.
Malah tuduhan kononnya dia tidak boleh ditegur adalah tidak adil tanpa ia dilihat menerusi prespektifnya selain situasi sebenar.

"Saya seorang yang terbuka dalam menerima nasihat membina tetapi tanya kembali kepada pihak yang membangkitkan isu ini apakah cara digunakan dalam memberi teguran kepada saya?

"Setakat ini yang saya padam komen mereka dan 'block' dari Instagram adalah mereka yang meninggalkan nasihat tanpa adab dan kurang ajar selain menggunakan cara sarkastik.

"Adakah itu cara yang betul untuk menegur seseorang? Sehingga hari ini tiada satu kata-kata cacian dan makian saya balas cuma tindakan saya adalah dengan cara padam dan sekat mereka," jelasnya.

Tambah Ewal, dia tidak mengetahui dalang disebalik pengirim e-mel berkenaan dan enggan terlalu mengambil pusing mengenai hal itu.

"Jika betul dia berada di pihak benar datang jumpa dan cakap semua perkara yang ditulis dalam e-mel itu dihadapan muka saya," katanya.
Ewal, Akademi Fantasia 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain