suria

Ada Pihak Sangsi Pengaruh Dadah Radhi (OAG)

Radhi (tiga dari kiri) memberitahu ada pihak masih sangsi padanya berkaitan dadah.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan OAG, Radhi memberitahu terdapat segelintir pihak masih sangsi dengan dirinya sama ada dia benar-benar sudah meninggalkan najis dadah atau pun tidak.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, berkata, presepsi itu timbul berikutan dia dilihat sentiasa tampil dengan aksi lincah ketika mengadakan persembahan biarpun usianya kini mencecah 38 tahun.

"Biarpun saya sudah menjelaskan berkali-kali saya sudah bebas daripada dadah tetapi masih ada yang tidak percaya hanya kerana aksi lincah saya di pentas dan menyangka ia kesan daripada bahan terlarang itu.

"Terkilan itu ada juga tetapi saya tidak dapat hendak menepis setiap kali cakap-cakap begitu timbul kerana paling penting saya tahu diri saya," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Radhi pernah menjalani pemulihan di Pengasih Malaysia selama setahun setengah pada 2011.

Radhi tidak lagi terlibat dengan najis dadah.

Dalam pada itu, Radhi menegaskan dia kini bebas daripada najis dadah dan aksinya di pentas datang secara semula jadi dan bukan disebabkan pengaruh bahan tertentu.

Radhi berkata, menyedari cakap-cakap kurang enak mengenai dirinya, dia sanggup memperlahankan pergerakan di pentas bagi mengelak fitnah sedemikian berulang.

"Biarpun tidak dapat menjadi diri sendiri ketika di pentas, saya sanggup memperlahankan pergerakan di pentas walaupun kadang-kadang terbabas juga sebab sudah terbiasa," ujarnya.

Sementara itu, Radhi berkata, dia juga banyak mempelajari soal disiplin daripada anggota baharu dalam OAG bagi memastikan tidak menimbulkan sebarang masalah.

Jelas Radhi, sebagai seorang yang lebih berusia dia berasa malu dengan kesungguhan dan komitmen diberikan ahli kumpulan terhadap OAG membuatkan dia sentiasa menjaga disiplin.

OAG kembali dengan single terbaharu berjudul BawahTanahAyer.

"Saya akui dulu saya memang bermasalah dan tidak ada disiplin tetapi kini semuanya sudah berubah dan ia adalah jasa anggota lain dalam OAG.

"Sebagai seorang yang lebih tua, saya malu mereka dapat menunjukkan disiplin yang tinggi sehingga membuatkan saya tersedar dan mahu melakukan perkara sama," katanya.

Selain Radhi, OAG kini dibarisi oleh generasi pemuzik kelima kumpulan tersebut iaitu Nizam (gitar), Azam (drum), Nazrin (bass) dan Izmer (keyboard & biola).

Kumpulan yang terkenal menerusi lagu 60's TV itu baharu sahaja muncul dengan single terbaharu mereka iaitu BawahTanahAyer.

Radhi, OAG.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain