PETALING JAYA: Penyanyi Adira memberitahu sikap pengikut Instagram yang keterlaluan dengan mengejeknya sebagai hantu dan mendoakan keburukan dia membuatkan ibunya iaitu Rujinah Sarungin terguris hati. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, kebanyakkan meraka tidak sensitif dan memikirkan perasaan orang lain sebelum meninggalkan sebarang komen biarpun dengan niat untuk bergurau. "Mereka memang selalu ejek saya hantu di Instagram, saya tidak kisah dan peduli sehingga pada minggu lalu ibu saya telefon dan menegur tentang perkara itu. "Dia sungguh sedih apabila mereka menulis begitu biarpun hanya untuk bergurau. Lebih teruk ada yang mendoakan agar saya tidak boleh berjalan pada satu gambar di Instagram," ujarnya kepada mStar Online. Gambar yang dimuat naik Adira pada Rabu lalu menerima banyak komen negatif pengikut Instagramnya. Adira diminta mengulas mengenai tindakan dia membalas komen-komen negatif pengikutnya pada satu foto di laman Instagram. Foto yang dimuat naik pada Rabu lalu itu memaparkan Adira berpakaian jubah sambil menaiki skuter roda elektrik telah mendapat lebih 60 komen pengikut laman sosial itu. Kata Adira, dia membalas komen itu bukan berniat untuk bergaduh dengan pengikutnya, namun ingin memberi kesedaran tentang perasaan ibunya yang terasa hati dengan tulisan berkenaan. "Saya jarang balas komen-komen di Instagram, namun bila ibu saya menangis dan sedih saya jadi marah dan ingin mereka tahu perkara itu tidak sepatutnya berlaku. "Kalau seorang dua sahaja tidak mengapa, ini tidak... mereka tag kawan-kawan yang lain supaya meninggalkan komen yang buruk-buruk pada gambar saya itu," ujarnya.