suria

Tiada Gambar Bulan Madu Keterlaluan - Nubhan

Nubhan menganggap tiada gambar bulan madunya keterlaluan.

PETALING JAYA: Penyanyi Nubhan menganggap tindakannya berkongsi gambar ketika berbulan madu bersama isteri iaitu Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26,  di Eropah baru-baru ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk selain tiada gambar ketelaluan.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 29, berkata, perkara itu dilakukan bagi berkongsi kenangan manis yang dilaluinya kepada peminat di laman sosial.

"Saya rasa perkara itu normal dilakukan oleh orang lain juga ketika berada di luar negara, malah yang duduk Malaysia pun banyak ambil gambar dan muat naik di laman sosial, inikan pula kalau kita pergi ke negara lain.

"Saya teralu teruja sebab itu saya kongsi kenangan manis yang saya lalui itu di laman sosial. Lagi pula itulah tujuan laman sosial diwujudkan," ujarnya kepada mStar Online.


Nubhan diminta mengulas tentang foto-foto bulan madunya bersama isterinya pada akhir bulan lalu yang menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Sebanyak lebih 70 keping foto yang dimuat naik di laman sosial milik penyanyi itu dikritik kerana dianggap cuba menunjuk-nunjuk dan terdapat gambar-gambar yang dikatakan tidak sesuai ditayangkan kepada umum.

Sementara itu, Nubhan berkata, foto-foto yang dimuat naik itu merupakan gambar biasa dan tidak dianggap keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.



"Gambar saya bersama isteri yang dimuat naik adalah gambar biasa sahaja, kalau gambar peluk pun tidaklah ia keterlaluan.

"Lainlah kalau gambar tersebut gambar bercium atau isteri saya berpakaian seksi yang benar-benar menyentuh sensitiviti," ujarnya.

Nubhan berkata, dia enggan mengambil serius tentang pandangan negatif penguna laman sosial yang sering sahaja mencari kesalahan seseorang artis.

Bercerita tentang pengalaman berbulan di Eropah, Nubhan berkata, disebabkan nilai ringgit yang jatuh, dia terpaksa merancang perkara yang lebih penting untuk dibelinya.

Biarpun begitu, dia menghabiskan lebih RM30,000 sebagai kos perbelanjaan harian sepanjang dua minggu percutian.

"Kami pergi ke Amsterdam, Brussels dan Paris dan melihat beberapa tempat menarik yang sering dikunjungi pelancong. 

"Kejatuhan ringgit memang agak terasa kerana semua perkhidmatan dan barang mahal termasuk tiket pengangkutan. Jadi saya terpaksa beli apa yang penting sahaja," ujarnya.

Nubhan bergelar suami kepada Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dengan sekali lafaz  pada 29 Ogos lalu di kediaman wanita tersebut di Seremban, Negeri Sembilan.

Nubhan

Artikel Berikut

Artikel Lain