SHAH ALAM: Juara Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), Sufi akur kes gangguan seksual yang dibuatnya bersama penyanyi Indonesia iaitu Tegar terhadap bekas bapa tirinya, Muhammad Arif Dollah telah digugurkan selain tidak berhasrat memanjangkan perkara itu. Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 24, berkata, tindakan yang dibuat sebelum memasuki program realiti itu dilakukan atas dasar ingin membantu Tegar. "Saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan iaitu membuat pendedahan tentang isu tersebut. "Niat saya ialah untuk membantu sahabat saya sahaja, bukan untuk mempertahankan diri saya tetapi mempertahankan hak kami. Kalau kes ini sudah digugurkan saya rasa tidak patut untuk dibuka balik. "Kalau sahabat saya (Tegar) tidak mahu teruskan kes itu, its ok, saya doakan yang terbaik sahaja, kalau orang itu bersalah dia akan terus berdosa," ujarnya kepada mStar Online. Tegar (kiri) dan Sufi bersama laporan polis yang dibuat terhadap Muhammad Arif pada Mac lalu. Foto: Berita Harian Singapura. Sufi berkata demikian bagi mengulas laporan media sebelum ini yang memetik kenyataan bekas bapa tirinya Muhammad Arif Dollah mendakwa laporan dibuat tegar telah digugurkan polis. Malah Muhammad Arif selaku bekas pengurus artis itu dilaporkan turut berhasrat menyaman beberapa individu termasuk Sufi kerana membuat tuduhan kononnya dia melakukan gangguan seksual terhadap mereka. Dalam konsert final AF 2015 pada Ahad, Sufi diumumkan sebagai juara pertandingan itu yang melayakkan dia membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM50,000, percutian ke Dubai beserta trofi sumbangan Astro. SILA KLIK: Kes Gangguan Seksual Gugur, Tegar & Sufi (AF 2015) Pula Bakal Disaman Dalam pada itu, Sufi berkata, dia tidak mahu membesarkan lagi perkara yang disifatkan terlalu peribadi serta melibatkan maruah keluarganya. Dia juga tidak mahu menjawab perkara-perkara yang dianggap remeh-temeh serta tidak memberi manfaat kepada kerjayanya sebagai artis baharu. "Perkara dah tutup saya tidak mahu ulas dan panjangkan lagi. Ketika tiga bulan saya di akademi saya tidak diberikan telefon untuk menghubungi siapa-siapa dan mengetahui perkembangan dunia luar. "Kalau orang nak tanya saya terima tetapi saya tidak akan menjawabnya," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang kemenangan tersebut, Sufi berkata, dia akan menetap di Kuala Lumpur bagi memberi perhatian terhadap kerjaya nyanyaiannya itu. Dia juga mahu mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi yang boleh menggubah lagu sendiri supaya mampu bersaing dengan artis-artis popular negara ini. Banyak yang saya belajar dalam akademi terutamanya tentang teknik nyanyian sepanjang tiga bulan ini. Insya-Allah saya akan aplikasikannya dalam kerjaya saya yang baru bermula ini. "Saya akan tinggal di rumah saudara saya di Kuala Lumpur bagi meneruskan kerjaya nyanyian di bawah pengurusan Astro," ujarnya.