suria

Lisa Surihani Lebih Matang Selepas Dapat Anak

Lisa Surihani lebih melalui pengalaman baharu menjadi seorang ibu. FOTO: ROHAIZAT DARUS
KUALA LUMPUR: Pelakon Lisa Surihani menjelaskan kehadiran anak sulungnya Yahaira Leanne yang lahir pada 15 September lalu banyak mengajarnya menjadi seorang wanita lebih matang.

Lisa, 29, berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat mempelajari pelbagai perkara baharu setiap hari daripada bayi itu disamping kehidupannya kini lebih teratur.

"Sebelum Yahaira lahir saya merancang untuk mendidiknya pelbagai perkara namun dia yang banyak mengajar saya sejak kehadirannya.

"Sejak dia dilahirkan banyak ilmu yang saya timba untuk menjadi seorang ibu yang lebih baik setiap hari," katanya kepada mStar Online.

Lisa ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya berjudul Sinaran di GSC Pavilion di sini, Isnin.

Selain Lisa, Sinaran turut dibintangi oleh pelakon Indonesia Evan Sanders, Izara Aishah, Syarif  (Sleeq) dan penampilan khas Datuk Sheila Majid.

Diarahkan oleh Osman Ali filem berkenaan bakal menemui penonton di pawagam bermula 22 November ini.

Pelakon Sinaran dari kiri; Syarif  (Sleeq), Lisa Surihani dan Evan Sanders.
Dalam pada itu, Lisa berkata, sejak bergelar ibu tumpuannya kini lebih kepada Yahaira dan segala perancangan perlu mendahulukan anaknya itu.

Malah kata Lisa, dia kini lebih selektif terhadap tawaran lakonan agar sesuai dengan masa dan statusnya sebagai seorang ibu.

"Alhamdulillah kehidupan saya lebih teratur dengan adanya Yahaira dan sudah tentu keutamaan diberikan kepadanya.

"Tentang karier pula, saya akan teruskan seperti biasa namun apa-apa keputusan saya akan buat dengan memikirkan anak saya," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai Sinaran, Lisa berkata, ia adalah sebuah filem muzikal ringan namun masih tetap memberi cabaran kepadanya sebagai pelakon.

Menerusi wataknya sebagai Shila memerlukan dia menari menerusi beberapa buah lagu dan ia antara cabaran besar buatnya.

"Saya sudah lama tidak menari dan menerusi naskah ini memerlukan saya berbuat demikian tetapi ia satu cabaran kepada diri saya.

"Alhamdulillah dengan latihan dan tunjuk ajar daripada guru tari saya berjaya melakukannya dan ia sangat menyeronokkan," ujarnya.

Paling teruja kata Lisa apabila dia dapat bergandingan dengan penyanyi Datuk Shiela Majid menerusi penampilan khasnya dalam filem berkenaan.
Lisa Surihani

Artikel Berikut

Artikel Lain