suria

Filem Sinaran Cabaran Baharu Buat Osman Ali

Osman Ali (dua dari kanan) bersama para pelakon dan mereka yang terlibat dalam filem terbaru arahannya iaitu 'Sinaran'. Foto THE STAR/ROHAIZAT DARUS

KUALA LUMPUR: Filem terbaharu arahan Osman Ali berjudul Sinaran memberi cabaran besar buat pengarah berkenaan memandangkan ia adalah naskah genre muzikal pertamanya.

Osman berkata, sebagai pengarah dia perlu benar-benar bersedia sebelum melangkah ke set penggambaran agar dapat merialisasikan genre filem tersebut.

"Sinaran menguji kredibiliti saya sebagai pengarah kerana saya tidak pernah mengarahkan filem berbentuk muzikal sebelum ini.

"Jadi saya perlu betul-betul fokus dan rancang apa yang ingin saya lakukan agar ia bertepatan dengan objektif dan tema yang ingin diangkat menerusi filem tersebut," katanya.

Osman ditemui mStar Online pada majlis tayangan perdana filem berkenaan yang diadakan di GSC Pavillion di sini, Isnin.

Sinaran dibintangi oleh Lisa Surihani, pelakon Indonesia Evan Sanders, Izara Aishah, Syarif (Sleeq) dan penampilan khas Datuk Sheila Majid.

Ia bakal menemui penonton dipawagam bermula 22 November ini.

Evan Sanders, pelakon dari Indonesia turut mencuba bakatnya dalam Sinaran.

Dalam pada itu, Osman berkata, pelaksanaan babak melibatkan tarian oleh pelakon tambahan juga ketika penggambaran di Universal Studio, Singapura turut memberikan cabaran besar buatnya.

Jelas Osman, waktu singkat diberikan oleh pihak pengurusan taman tema itu kepada produksi memberikannya tekanan bukan sahaja dari segi pengurusan masa malah memastikan semua pelakon memberikan kerjasama.

"Bayangkan saya ada 80 orang pelakon tambahan pada satu masa ketika babak tarian di Universal Studio dan perlu siap penggambaran sebelum taman tema itu dibuka kepada orang ramai.

"Ia cabaran besar buat saya dan produksi tetapi Alhamdulillah kerjasama baik daripada semua memudahkan proses berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai pemilihan pelakon, Osman berkata pihaknya memang mencari barisan pelakon dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk menghiasi naskhahnya itu.

Bagaimanapun pemilihan itu tidak dibuat secara rawak sebaliknya setiap pelakon terpilih perlu menjalani uji bakat.

"Ia sebuah filem remaja berlatar belakangkan zaman universiti dan kami ingin mencari pelakon yang sesuai.

"Alhamdulillah semua pelakon terpilih memberikan persembahan bertenaga dalam filem ini dan saya sangat berpuas hati dengan lakonan mereka," ujarnya.

Sinaran, Osman Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain