PETALING JAYA: Pelakon baharu Nadzmi Adhwa tidak menyangka kehadirannya semakin mendapat perhatian peminat biarpun tidak sampai setahun bergelar artis. Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 23, bagaimanapun berkata, dia menganggap perkara itu sebagai rezeki dan tuah selepas wataknya sebagai Tengku Zaqif dalam drama bersiri Hati Perempuan diminati penonton. "Saya tidak pernah menjangka dalam tempoh singkat ramai yang mula mengenali saya sebagai pelakon dan saya bersyukur dengan penerimaan baik peminat. "Pada awalnya saya takut juga dengan situasi berkenaan kerana tidak sampai setahun saya dalam bidang ini tetapi saya anggap ia sebagai petanda baik untuk karier saya," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun kata Nadzmi, dia tidak mahu hanyut dengan perhatian diberikan sebaliknya ingin memberi fokus kepada karier memandangkan dia masih baharu. "Saya sangat baru dalam bidang ini, pengalaman pun kurang dan saya perlu fokus kepada karier berbanding perkara lain," ujarnya. Nadzmi kini turut bergelar penyanyi. Dalam pada itu, Nadzmi berkata, dia teruja apabila diberi peluang untuk merakamkan sebuah single bertajuk Kamulah Wanita. Jelasnya, penglibatan dalam bidang nyanyian berlaku secara tidak sengaja namun memberitahu memang minat menyanyi. "Sebelum ini saya pernah buat video menyanyikan lagu tema Hati Perempuan berjudul Bunga Dhia dan komposernya Aiman Sidek menghubungi saya menawarkan untuk merakamkan sebuah lagu baharu ciptaannya. "Saya anggap itu peluang keemasan untuk saya mencuba bidang nyanyian kerana saya memang minat menyanyi," ujarnya. Bagaimanapun kata Nadzmi, buat masa ini kemunculan single berkenaan sekadar percubaan dan masih akan fokus kepada lakonan. Dalam perkembangan lain, Nadzmi yang kini sedang mengerjakan umrah di Mekah memberitahu, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Jangan Ambil Botol Itu. Selain itu, Nadzmi juga sedang menantikan filem pertama lakonannya arahan Osman Ali iaitu Langit Cinta yang akan ditayangkan pada Januari depan.