PETALING JAYA: Pelakon Normah Damanhuri menyedari ada pihak yang kurang senang melihat dia membuka tudung dalam sesebuah drama sedangkan dia sudah berhijab sejak pulang mengerjakan umrah pada 2011. Normah, 61, berkata, dia hanya berlakon tanpa hijab sekiranya diminta berbuat demikian oleh pengarah mengikut kesesuaian watak. "Sebenarnya saya sudah mula bertudung selepas pulang dari umrah pada tahun 2011. Tetapi saya mencari rezeki dan kalau diperlukan tidak bertudung, saya tidak boleh tolak," katanya kepada mStar Online. Normah diminta mengulas mengenai kekeliruan peminat melihat imejnya yang adakalanya bertudung dan ada masanya tidak. Terbaharu, menerusi drama Tuan Anas Mikael (saluran Astro Ria), Normah juga dilihat tidak mengenakan tudung dan ada masanya dia hanya memakai selendang di kepala. Normah Damanhuri. Dalam pada itu, Normah berkata, imej tanpa tudung yang ditampilkan dalam drama-drama lakonannya itu bukan kerana paksaan oleh mana-mana pihak, tetapi atas kerelaannya sendiri. "Mungkin ada yang kurang senang dengan kenyataan ini. Tetapi saya akan cuba memperbaiki diri menjadi seorang Muslimah yang lebih baik," ujarnya. Sementara itu, kata Normah, dia bersyukur masih lagi diterima penerbit drama dan filem yang memerlukan khidmatnya berlakon meskipun usianya semakin lanjut. Ia disebabkan sikapnya yang dapat memberikan komitmen kerja yang tinggi dan seorang berdisiplin. "Saya seorang yang sangat mementingkan kualiti kerja. Ertinya, bukan sekadar perlu datang awal dan menghafal skrip semata-mata, tetapi kita perlu membuat persiapan awal, iaitu tidur dan rehat secukupnya sebelum memulakan kerja-kerja lakonan. "Kalau tak, nanti persembahan yang disampaikan tidak cantik, sekali gus menyusahkan orang sekeliling untuk membuat rakaman semula. "Itu yang saya pegang sehingga kini dan Alhamdulillah, saya masih lagi relevan dalam industri," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Normah bakal muncul menerusi filem Langit Cinta, arahan Osman Ali pada Januari tahun depan selain drama Tentang Hati, terbitan Global Station.