suria

Tonton Anak Stacy, Nabil & Yasmin Hani Dalam 'Didi & Friends'

Yasmin Hani bersama anaknya Noah.
KUALA LUMPUR: Tiga selebriti popular iaitu Nabil Ahmad, Yasmin Hani dan Stacy buat pertama kalinya mendedahkan anak mereka dalam sebuah video klip untuk siri animasi kanak-kanak Didi & Friends.

Nabil, 32, berkata, dia mengambil peluang tersebut untuk melihat sejauh mana anak sulungnya iaitu Naira Mikayla, 3, mempunyai bakat untuk terlibat dalam industri seni tanah air.

"Ini pertama kali saya ambil tawaran untuk anak saya dan nampaknya dia tidak malu di hadapan kamera serta tahu apa yang perlu dilakukannya.

"Saya juga mahu dia bergaul dengan rakan-rakan yang lain dan mengetahui bidang yang manjadi sumber pendapatan ayahnya," ujar Nabil pada majlis pelancaran dan sidang media siri animasi Didi & Friends, di Piching Centre, Platinum Sentral, di sini, Khamis.

Nabil bersama isterinya Zira dan anak-anaknya.

Dalam pada itu kata Nabil, sebagai bapa, dia sentiasa menggalakkan apa juga minat anaknya terutamanya yang menjurus ke arah bidang seni.

"Saya tidak kisah kalau dia nak jadi artis, malah saya galakkan jika itu minat dia. Tapi yang penting pelajaran kena diutamakan.

"Saya kagum dengan pelakon Puteri Balqis dan kalau boleh saya mahu anak saya bijak macam pelakon itu apabila besar nanti," ujarnya.

Nabil dan Nazirah berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Naira Mikayla, 2, dan Leyla Medyna yang berusia 10 bulan.

Sementara itu, Yasmin Hani pula terpaksa menarik perhatian anaknya Noah Ismail Wong supaya untuk membuat aksi di hadapan kamera sepanjang penggambaran klip video.

Katanya, Noah yang baharu berumur dua tahun itu masih belum mengerti dan tak mahu mengikut arahan.

Namun, kata Hani, ia satu pengalaman yang baru untuk anaknya bagi proses pembesaran.

"Dia masih tidak tahu apa-apa dan tidak mahu mendengar arahan pun, tapi dia gemar menonton rancangan Didi & Friends ini di YouTube," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan anaknya, Hani berkata, dia menggunakan tiga bahasa untuk bertutur dengan anaknya iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Dia juga mahu anaknya itu dapat menguasai ketiga-tiga bahasa bagi memberi kelebihan kepadanya apabila besar nanti.

Hani berkahwin dengan bekas pemain dram Black Rose iaitu Shahrin Razali pada 21 Oktober 2011 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Antara yang terlibat dalam siri animasi Didi& Friends.

Sementara itu, Didi & Friends merupakan karya animasi kerjasama terbaharu Astro dan Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd yang memperkenalkan lagu-lagu tradisional rakyat kepada generasi baharu.

Karya tersebut mendapat sambutan mencecah labih 47 juta tontonan di YouTube dan bakal menemui penonton di televisyen tidak lama lagi.

Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, kerjasama ini diharap dapat memberikan kesan positif kepada pertumbuhan industri kandungan kreatif tempatan dan antarabangsa.

"Pihak Astro juga mempunyai perancangan menghasilkan program Didi & Friends dalam versi Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil dalam jangka masa terdekat," ujarnya.

Program siri animasi kanak-kanak Didi & Friends akan disiarkan bermula 8 Disember ini pukul 8 pagi di Astro Ceria (Saluran 611).

Klip video istimewa berjudul Pokok Mulberry menampilkan anak Nabil, Yasmin Hani dan anak angkat Stacy iaitu Bella Valentina yang berusia tiga tahun itu akan disiarkan dalam waktu terdekat.

Stacy, Nabil Ahmad, Yasmin Hani

Artikel Berikut

Artikel Lain