PETALING JAYA: Pelawak Siti Chubby memberitahu kini mengusahakan perniagaan sate sejuk beku secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan sejak beberapa bulan lalu. Siti Chubby atau nama sebenarnya Norfatidah Shamsudin, 34, berkata, dia mula menceburi bidang perniagaan tersebut selepas menjadi ibu tunggal kepada lima cahaya mata setelah bercerai dengan suaminya pada Oktober lalu. "Saya memulakan perniagaan sate frozen sebagai sumber pendapatan saya sebagai ibu tunggal, yang mana resipi ini merupakan turun temurun keluarga saya. "Setakat ini kita buat secara kecil-kecilan dibantu keluarga saya di Felda Kahang Barat, Kluang Johor," ujarnya kepada mStar Online. Siti Chubby berkata, biarpun baharu berjinak-jinak dalam bisnes makanan segera itu, namun dia gembira kerana dapat memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal lain di kawasan tersebut. Katanya, setakat ini, dia mempunyai sepuluh pekerja ibu tunggal yang bertindak mencucuk sate. "Alhamdulillah, saya juga buka peluang pekerjaan kepada ibu tunggal lain di kawasan Felda itu yang berminat untuk tambah pendapatan. "Setakat ini ada sepuluh orang dan Insya-Allah saya akan buka kepada lebih ramai lagi kerana saya diminta menyediakan sebanyak 50 ribu cucuk sate untuk tahun melawat Terengganu akhir Disember ini," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Siti Chubby yang merupakan pelawak kelahiran Skool Of Lawak ini berkata dia masih aktif sebagai pelakon dan pelawak biarpun namanya kurang mendapat perhatian. Katanya, dia juga merancang untuk mencari ahli kumpulan bagi menyertai pertandingan Maharaja Lawak pada tahun depan.