suria

Soo Wincci Mahu Perkenal Artis Tempatan Di Taiwan

Soo Wincci mahu memperkenalkan bakat tempatan di luar negara. Foto AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Penyanyi Soo Wincci yakin populariti diraih di Taiwan dapat membuka ruang untuknya memperkenalkan bakat tempatan di luar negara.

Wincci, 30, berkata, banyak artis tempatan berbangsa Cina mempunyai bakat besar namun tidak mempunyai peluang mengembangkan bakat mereka lebih jauh dan nekad untuk membantu mereka.

"Saya sudah lama berhasrat untuk membantu artis-artis tempatan menempa nama di luar negara tetapi saya mesti menstabilkan karier sendiri terlebih dahulu.

"Syukur usaha saya selama ini mula menampakkan hasil selain mula menjadi perhatian di sana dan ini adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan beberapa bakat tempatan ke luar negara," katanya kepada mStar Online.

Tambah Wincci, perancangan itu mula menampakkan hasil apabila dia bakal membawa beberapa artis dibawah naungannya ke China bagi mengadakan persembahan di sebuah konsert bersempena sambutan tahun 2016.

Wincci bersama Winson Voon (paling kiri) dan kumpulan Mad August.

Antara artis Cina tempatan yang bakal dibawa ke Taiwan dan China untuk promosi adalah kumpulan Mad August dan penyanyi solo, Winson Voon.

Dalam pada itu, Wincci berkata, dia optimis usahanya itu akan memberi impak positif kerana penyanyi Cina di Malaysia mempunyai bakat besar selain ada di antara mereka sudah pun mempunyai kelompok peminat tempatan.

Katanya lagi, apa yang dilakukan itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi mengembangkan industri muzik tempatan di peringkat global.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk industri muzik tempatan yang saya nampak boleh pergi jauh jika strategi diaturkan dibuat dengan baik.

"Ini juga adalah salah satu sumbangan balik saya kepada industri dan negara saya kerana tanpa sokongan masyarakat dan peminat apa yang saya usahakan ini tidak akan menjadi realiti," ujarnya.

Wincci bakal muncul dengan single berbahasa Melayu tidak lama lagi.

Sementara itu, Wincci berkata, buat masa ini dia ingin memberi fokus membawa artis Cina tempatan terlebih dahulu namun ada perancangan untuk memperkenalkan penyanyi Melayu di luar negara.

"Banyak sebenarnya perancangan saya tetapi ia perlu dibuat tanpa tergesa-gesa dan perlu fokus kepada sesuatu perkara terlebih dahulu.

"Paling penting kita berusaha dan sekiranya ia tidak menjadi sekalipun sekurang-kurangnya mereka dapat menimba pengalaman ketika berada di sana," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Wincci berkata, dia berhasrat untuk menghasilkan single berbahasa Melayu dalam masa terdekat ini dengan berkonsepkan pop Melayu.

Terdahulu penyanyi yang pernah menyertai program Masterchef Selebriti Malaysia itu tampil dengan single bersama Joe Flizzow berjudul Terpulanglah.

Soo Wincci

Artikel Lain