suria

Projek Hartanah Maya Karin Terganggu Akibat Pembinaan Lebuh Raya

Maya Karin nasihat artis baharu simpan aset masa tua.
PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin memberitahu dia terpaksa mengecilkan rancangan pembinaan lot bangunan pejabat apabila sebahagian tanah miliknya terlibat dengan projek lebuh raya oleh syarikat Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 37, berkata dia kini dalam proses pembincangan dengan pihak berkenaan bagi mendapatkan pampasan terhadap tanah tersebut.

"Projek pembinaan bangunan pejabat di Sungai Buloh terganggu kerana sebahagian tanah diambil untuk buat lebuh raya, jadi pelan itu terpaksa buat balik dan kecilkan projek tersebut.

"Disebabkan perkara itu saya terpaksa ke Pejabat Tanah Klang dan turun naik mahkamah untuk membuat perbincangan dengan pihak Dash dalam membuat tuntutan kerugian dan pampasan tanah saya yang diambil untuk projek lebuhraya mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Maya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan bisnes hartanah yang sedang diusahakan.

Sebelum ini, Maya turut dilaporkan membuat pelaburan hartanah di London dan kini mempunyai aset berjumlah RM8 juta.

Bagaimanapun, Maya mengakui ada kebaikannya apabila wang pampasan terhadap tanah itu boleh dibuat suntikan modal kepada pembinaan bangunan pejabat yang dijangka bakal dimulakan pertengahan tahun ini.

"Pada mulanya memang sayang juga tanah tersebut sudah jadi kecil untuk projek yang saya rancang itu, namun ia ada pro dan kontra.

"Sekurang-kurangnya saya dapat suntikan modal untuk buat bangunan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Maya menganggap bisnes hartanah yang dijalankan ini merupakan pelaburan untuk masa depannya terutama selepas tidak bergelar artis.

Dia turut menasihatkan artis-artis baharu agar tidak terlalu berbelanja boros dengan barangan berjenama dan kereta mewah tanpa memikirkan pelaburan hari tua.

"Saya sedih bila dengan ada artis yang minta bantuan dan tiada tempat tinggal. Saya harap artis-artis yang sedang aktif sekarang jangan suka membazir kepada barang-barang berjenama seperti beg tangan mahupun kereta mewah.

"Lebih baik mereka beringat-ingat untuk masa depan dan lebih penting ialah perlu ada insuran untuk diri mereka sendiri," ujarnya.

Maya Karin

Artikel Berikut

Artikel Lain