suria

Kumpulan Baharu Nadir Angkat Irama Tradisional

Antara ahli kumpulan Nadir yang hadir ke studio mStar Online, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Kumpulan muzik baharu Nadir yang dianggotai oleh tujuh anak muda ingin memupuk semula minat golongan muda terhadap muzik irama tradisional yang hampir dilupakan.

Ketua kumpulan, Ashwin Gobinath berkata, percubaan pertama mereka berjudul Ikan Kekek merupakan lagu rakyat berirama Malaysia yang ditambah dengan elemen jaz dan moden agar lebih bersesuaian dengan trend anak muda kini.

"Kami sebelum ini bergiat dalam industri secara indie lebih sepuluh tahun dan sudah tiba masanya untuk kami bergabung antara satu sama lain dan menghasilkan muzik yang boleh menyampaikan mesej kepada msyarakat.

"Anggota kumpulan kami terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina, bersesuaian dengan konsep kumpualn ini iaitu untuk memperjuangkan muzik-muzik irama Malaysia yang sudah dilupakan," ujarnya kepada mStar Online dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Nadir mempersembahkan lagu Ikan Kekek sebagai single pertama mereka.

Kumpulan ini turut dianggotai oleh Rashan Harith (Vokalis), Santosh Logandran (Tabla), Stephanie Tham (Keyboard & Piano), Farique Nadzir (Gitar) dan Adil Johan (Saksofon).

Katanya, pemilihan lagu Ikan Kekek ini merupakan antara lagu rakyat yang sedap didengar dan diminati ramai.

Selain itu, Ashwin berkata, mereka kini dalam proses menyiapkan enam buah lagu yang akan dimuatkan dalam album pertama mereka tidak lama lagi.

"Kami dalam perancangan untuk buat sebuah album yang terdiri tiga lagu Melayu dan tiga lagu Inggeris. Album tersebut dijangka akan siap pertenggahan 2016.

Nadir kini sedang dalam proses menyiapkan album pertama mereka. 

"Buat masa ini kami fokus untuk promosi lagu Ikan Kekek terlebih dahulu dan lihat sambutan bagaimana. Lirik video yang dimuat naik pada 5 Januari lalu sudah hampir lima rubu tontonan," ujarnya.

Tambah Ashwin, mereka juga dalam perancangan mencari lagu-lagu tradisional India dan Cina bagi melengkapkan album tersebut.

Katanya, tujuh anggota dalam kumpulan tersebut mempunyai pelbagai kepakaran dalam beberapa alat muzik tradisional.

"Kami berbeza daripada kumpulan lain daripada segi anggota yang mempunyai kepakaran dalam beberapa jenis alat muzik.

"Oleh itu, sekarang dalam proses mencari lagu-lagu tradisional India dan Cina juga untuk diubah menjadi lagu yang boleh diterima kembali dalam masyarakat," ujarnya.

Ikan Kekek, Nadir

Artikel Lain