PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick memberitahu mempunyai prinsip untuk tidak akan mempunyai sebarang hubungan cinta dengan mana-mana lelaki pada usia yang masih muda dan tidak bersedia. Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, dia tidak mahu hubungan cinta hanya akan menjejaskan komitmen terhadap kerjaya yang baharu dibina dalam industri. "Saya tidak ada kekasih sejak sekolah lagi, memang setiap tahun saya berazam tidak mahu bercinta kerana malas hendak fikir tentang hati orang lain. "Saya tidak mahu jadi seperti remaja perempuan seumur saya yang kelam kabut mahu bercinta dan sibuk dengan kekasih. Lebih baik ketika muda ini kita fokus bekerja," ujarnya kepada mStar Online. Janna berkata demikian ketika ditanya pendapatnya tentang cinta dan pasangan kekasih. Tambah Janna, dia mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni lain yang baharu diceburinya iaitu bidang nyanyian. Dalam pada itu, ditanya tentang bidang nyanyian, Janna yang baharu melancarkan single berjudul Mungkin Saja ini menganggap ia sebagai salah satu jalan untuk menjadi seorang penghibur. "Orang ramai yang bertanya kenapa saya mahu menyanyi, bagi saya umur saya muda lagi dan saya ada banyak masa untuk cuba pelbagai bidang dalam industri. "Saya juga nak tahu bidang yang mana lebih dekat dengan diri saya. Kalau boleh saya mahu jadi seorang penghibur yang serba boleh," ujarnya. Bercakap tentang lagu ciptaan Kunci Demak itu, Janna berkata, ia merupakan sebuah lagu ringan dan tidak menguji kemampuan vokalnya. Katanya, lagu tersebut juga hanya sebagai pengenalan diri kepada bidang nyanyian. "Saya tidak layak lagi nak bercakap tentang nyanyian, lagu pertama saya ini genre pop dan mudah untuk didengar dalam waktu santai. "Untuk menyanyi saya ada ambil kelas vokal untuk mengetahui cara menyanyi dengan betul tapi lagu saya ini tidak terlalu menguji kemampuan vokal," ujarnya. Sementara itu, bercakap tentang kerjaya lakonan, kata Janna, dia bakal memulakan penggambaran untuk filem pertamanya berjudul Kimchi Untuk Awak bersama beberapa pelakon popular tanah air.