PETALING JAYA: Pelakon Raja Ilya memberitahu dia tidak berasa bimbang popularitinya terjejas kerana terlibat dengan drama musim terbaharu Gerak Khas 2016. Raja Ilya, 31, berkata, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama kepolisian itu atas dua sebab utama iaitu rasa hormat terhadap penerbitnya Datuk Yusof Haslam dan unit uniform berkenaan. "Ramai yang mempertikaikan kenapa saya menerima tawaran untuk terlibat dengan drama Gerak Khas kerana drama tersebut bukanlah drama mainstream, namun saya tidak fikir ia menjejaskan populariti saya. "Saya ada sebab tersendiri iaitu kerana penerbitnya Datuk Yusof Haslam sendiri yang memberi tawaran tersebut tidak mungkin saya menolaknya. Selain itu, unit uniform berkenaan antara yang menjadi cita-cita saya sejak kecil dahulu," katanya. Raja Ilya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pendapat bahawa drama tersebut boleh menjejaskan popularitinya berikutan bukan berada di slot popular yang mempunyai rating tinggi. Drama Gerak Khas 2016 yang mula diterbitkan sejak tahun 1999 itu bakal disiarkan pada setiap Jumaat bermula 4 Mac ini, pukul 9 malam di TV2. Antara barisan pelakon terlibat ialah Syamsul Yusof, Fattah Amin, Salina Saibi, Mas Khan, Tisha Shamsir dan Deen Maidin. Raja Ilya berkata, sejak terlibat dengan penggambaran drama berkenaan, dia menerima pelbagai komen positif peminat-peminatnya di laman sosial. Malah, katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk terlibat dengan drama-drama terbitan produksi lain. "Drama ini memang panjang iaitu kira-kira lima bulan bersiaran dan komitmen untuk penggambaran juga saya akui agak padat. "Jadi saya perlu pandai membahagi jadual dengan drama-drama lain juga," katanya. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Raja Ilya berkata, dia bakal membintangi sebuah filem berjudul Soulmate arahan Prof. Razak Mohaideen. Katanya, dia bergandingan dengan penyanyi Singapura Taufik Batisah dan Erra Fazira.