PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda memberitahu sikapnya yang lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup menjadi penyebab dia masih tidak mempunyai pengganti biarpun sudah bercerai sejak dua tahun lalu. Izreen, 31, berkata, sebagai seorang yang pernah melalui kegagalan rumah tangga dia perlu bersikap selektif kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. "Jika diikutkan saya memang rindu hendak berteman tetapi kerana pengalaman lalu saya perlu lebih berhati-hati dalam mencari pengganti. "Pada saya, lebih baik saya hidup solo kerana jika ada pasangan yang menyusahkan pun tiada guna juga selain saya tidak mahu menyesal," katanya. Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam bergelar isteri kepada Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan berpisah pada 9 Jun 2014. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur tiga tahun. Dalam pada itu, Izreen berkata, dia berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang dapat membimbingnya ke arah lebih baik selain menerima anak dia seadanya. "Saya tidak minta banyak tetapi cukup sekadar dapat bertemu jodoh dengan lelaki yang baik dan boleh menerima anak saya. "Tetapi setakat ini saya belum berjumpa dengan calon sesuai dan lebih selesa dengan kehidupan solo buat masa ini," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya menerusi program Gempak Selebriti yang bakal memperlihatkan pelakon menjadi penyanyi, Izreen berkata, biarpun vokalnya tidak setanding penyanyi profesional namun dia teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya. Malah kata Izreen, dia sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada peminat selepas menonton persembahannya nanti. "Saya sudah pun menolak beberapa tawaran lakonan hanya semata-mata untuk memberi fokus kepada program ini. "Sekiranya dikritik peminat saya terima kerana nyanyian bukan bidang saya dan sekadar ingin mencabar diri dan bukannya untuk bergelar penyanyi," katanya. Selain Izreen, empat lagi peserta pelakon wanita yang terlibat adalah Tasha Shilla, Raja Ilya, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad. Manakala peserta lelaki adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee. Gempak Superstar akan bersiaran bermula 10 April depan pada setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria dan Ria HD.