PETALING JAYA: Penyanyi Alif Satar menyangkal dakwaan dia pernah menolak untuk berduet dengan Siti Nordiana gara-gara wanita itu tidak popular selepas menjuarai program Gegar Vaganza Musim 2 lalu. Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 26, berkata, perbincangan tentang lagu dan kerjasama dengan mana-mana artis adalah ditentukan oleh syarikat rakamannya iaitu Sony Music Malaysia. "Siti Nordiana pernah cakap perkara ini juga pada saya bahawa dia meminta untuk berduet dengan saya untuk lagu Tak Ada Cinta Sepertimu, namun ketika sesi rakaman, Aliff Aziz pula yang muncul. "Secara jujurnya saya sendiri tidak tahu tentang itu kerana urusan lagu ditentukan oleh syarikat rakaman dan bukan sebab saya enggan duet dengannya kerana dia tidak popular ketika itu," ujarnya kepada mStar Online. Alif berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan pojok akhbar mingguan bahawa dia disindir Siti Nordiana kerana pernah menolak pelawaan untuk berduet bersama ketika namanya tidak popular. Menerusi gosip itu, Alif bagaimanapun menerima tawaran untuk berlakon bersama Siti Nordiana menerusi drama Dia Semanis Honey yang kini dalam proses penggambaran. Siti Nordiana. "Kami baik-baik sahaja, dia pun faham perkara ini berlaku bukan kehendak saya, mungkin syarikat rakaman rasakan suara Aliff Aziz lebih sesuai dengan Siti Nordiana," ujarnya. Dalam pada itu, Alif berkata, drama Dia Semanis Honey merupakan kali pertama gandingannya dengan penyanyi wanita tersebut yang diarahkan Micheal Ang. Dia menerima tawaran tersebut berikutan sudah lama mengimpikan untuk berlakon dalam drama arahan pengarah popular itu. "Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan agak baik tahun ini, semua tawaran yang datang saya tidak boleh tolak. "Drama Tundukkan Playboy Itu antara yang saya tunggu kerana siaran di slot Akasia yang memang memberi impak pada kerjaya lakonan. Kemudian tawaran datang pula daripada Micheal Ang yang sudah lama saya tunggu juga," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang fokus sebenarnya sama ada sebagai penyanyi, pengacara atau pelakon, Alif berkata, dia melakukan semua cabang pekerjaan itu yang boleh mendatangkan wang. "Orang selalu tanya saya sebenarnya mahu jadi apa atau tidak fokus, pada saya apa juga yang boleh mendatangkan pendapatan saya buat," ujarnya.