KUALA LUMPUR: Pelawak Shahrol (Shiro) menggunakan anak lelakinya, Muhd Adam Danish untuk menguji keikhlasan hati isterinya, Nor Farhanan Syamimi sebelum dia mengambil keputusan berkahwin dengan wanita berkenaan. Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 31, berkata, cara layanan dan keserasian di antara mereka berdua membuatkan dia yakin Nor Farhanan adalah wanita yang layak untuk dijadikan teman hidupnya. "Antara perkara yang saya uji dia adalah anak saya menerusi perkahwinan terdahulu dan Alhamdulillah keserasian mereka cukup baik dan ia melegakan hati saya. "Malah anak saya cukup rapat dengannya dan memanggilnya mama," kata Shahrol. Shahrol berkata demikian ketika ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya yang diadakan di Laman Pengantin Melawati di sini, Sabtu lalu. Terdahulu, Shahrol dan Nor Farhanan, 26, disatukan sebagai suami isteri pada 18 Mac lalu di Kluang, Johor. Shahrol pernah berkahwin buat kali pertama pada 2008 namun mereka bercerai pada 2012. Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada 18 Mac lalu di Kluang, Johor Dalam pada itu, Shahrol berkata, dia mengambil masa agak lama untuk berkahwin buat kali kedua kerana fobia terhadap kegagalan rumah tangganya sebelum ini. Bagaimanapun kata Shahrol, kehadiran Nor Farhanan telah mengubah presepsinya selepas mengenali wanita berkenaan hampir dua tahun. "Jika diikutkan kami tidak pernah isytihar kami adalah pasangan kekasih tetapi sepanjang tempoh berkenalan saya selesa dengannya selain dia dapat menerima anak saya dengan baik. "Saya tidak melamarnya tetapi kami secara spontan bercakap soal kahwin dan mula membuat persiapan dalam waktu singkat. "Alhamdulillah perancangan yang diatur berjalan lancar dan seperti pasangan lain saya berharap ikatan ini akan berkekalan sehingga akhir hayat," ujarnya. Sementara itu, Nor Farhanan berkata, menyedari hakikat suaminya adalah seorang selebriti, komunikasi adalah kunci utama yang diterapkan agar tidak timbul salah faham. Nor Farhanan menambah, dia bertuah Shahrol seorang lelaki yang lembut hati dan tidak cepat melenting sekiranya sesuatu isu timbul di antara mereka. Shahrol harap dikurniakan cahaya mata segera. "Dia adalah lelaki paling lembut hati yang pernah saya jumpa dan ia membuatkan dia istimewa pada saya. "Dengan kesibukannya sebagai seorang selebriti kami sentiasa memastikan komunikasi di antara kami sentiasa baik," jelasnya. Ditanya soal anak, Nor Farhanan dan Shahrol berharap akan dikurniakan cahaya mata segera kerana kedua-dua mereka mengimpikan sebuah keluarga besar. Dalam perkembangan sama, Shahrol merancang membawa isterinya ke Jepun untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini. Kata Shahrol, idea bercuti di negara berkenaan datang daripadanya kerana obsesinya terhadap kartun Doraemon. "Saya hari-hari tengok kartun Doraemon dan ingat setiap episod. Sudah lama saya impikan hendak ke Jepun kerana ingin melawat muzium Doraemon di sana. "Isteri pun setuju dan Insya-Allah ada masa sesuai nanti kami akan ke sana untuk berbulan madu," katanya.