suria

Alami Keguguran, Sharifah Sakinah Tidak Kesal Tolak Tawaran Berlakon

Sharifah Sakinah reda apabila dia mengalami keguguran baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Sakinah tidak berasa menyesal kerana menolak tawaran lakonan yang diberikan kepadanya disebabkan ingin memberi fokus kepada kehamilan pertamanya namun dia mengalami keguguran baru-baru ini.

Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 26, berkata, ketika itu dia hanya berfikir untuk berehat daripada melakukan kerja berat tambahan pula dia seorang yang lasak memandangkan kehamilan tersebut masih pada peringkat awal.

"Saya tolak semua tawaran lakonan kerana ingin berehat dan memastikan kandungan saya berada dalam keadaan baik namun saya mengalami keguguran dan bukan rezeki saya dan suami.

"Ia ujian kecil buat kami suami-isteri dan saya yakin kejadian itu pasti ada hikmah disebaliknya," katanya kepada mStar Online.

Sakinah berkahwin dengan seorang juruterbang, Aliff Adha, 28, pada 28 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Sakinah mengakui dia pada awalnya terkejut apabila mengetahui dirinya hamil kerana dia dan suaminya merancang untuk mendapatkan cahaya mata selepas dua tahun mereka berkahwin.

Sakinah dan suaminya, Aliff Adha.

Namun jelas Sakinah, perasaan bakal bergelar ibu ketika itu membuatkan dia berasa gembira sehingga sanggup menolak tawaran diberikan kepadanya.

"Kami sebenarnya masih dalam fasa bulan madu dan merancang ingin memiliki cahaya mata selepas dua tahun berkahwin.

"Alhamdulillah biarpun sekejap perasaan apabila mendapat tahu saya hamil hanya Allah yang tahu," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai keguguran tersebut, Sakinah berkata dia pada awalnya tidak mengetahui dirinya sedang hamil dan melakukan aktiviti hariannya seperti biasa.

Malah kata Sakinah dia turut ke Mekkah untuk mengerjakan umrah dan ke London bersama keluarga mertuanya pada Februari lalu.

"Saya tidak tahu pada awal kandungan tidak boleh menaiki kapal terbang dan ketika itu juga saya tidak tahu diri sedang hamil tetapi apa-apa pun ia bukan rezeki saya dan suami.

"Insya-Allah kalau ada rezeki lagi untuk hamil dalam masa terdekat saya tidak menolak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sakinah kini kembali sibuk dan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Wau selain bakal berangkat ke Korea Selatan untuk menjalani penggambaran filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang.

"Jadual saya memang padat sekarang kerana bermula bulan Ramadan sehingga Aidilfitri saya mahu berehat daripada kerja," katanya.

Sharifah Sakinah

Artikel Sebelum

Artikel Lain