PETALING JAYA: Pelakon Saharul Ridzwan tidak melihat kemenangannya menerusi beberapa anugerah baru-baru ini menjadi alasan untuk dia menaikkan harga bayaran dalam setiap tawaran berbanding sebelum ini. Saharul, 27, sebaliknya berkata, fokusnya lebih tertumpu untuk memberikan lakonan lebih baik kerana dia sedar penghargaan diberikan peminat hadir bersama tanggungjawab besar kerana mereka adalah nadi terhadap kariernya. "Soal 'demand' saya tolak tepi kerana paling penting saya melunaskan tanggungjawab, tambahan pula saya masih baharu dalam bidang lakonan. "Masih ada perkara lebih penting yang menjadi fokus saya terutamanya dalam memperbaiki mutu lakonan. Saya menyerahkan soal bayaran kepada pengurus dan produksi untuk menentukannya. "Bagaimanapun saya masih sama seperti dahulu. Jika rezeki saya RM1,000 pun saya tetap terima dan akan berikan yang terbaik seperti saya dibayar sekali ganda," katanya kepada mStar Online. Saharul ingin akan terus belajar demi menjadi seorang pelakon berkaliber. Pada 30 April lalu, Saharul membawa pulang dua trofi pada Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars. Dalam pada itu, Saharul berkata, dia tidak pernah berkecil hati apabila ada pihak yang mengatakan lakonannya 'kayu' sebaliknya menganggap ia sebagai satu pemangkin semangat untuk terus memberikan yang terbaik. Kata Saharul, sebagai pelakon dia sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki dirinya dan menganggap proses berkenaan tidak pernah berhenti. "Saya tidak nampak apa kelemahan yang ada pada diri tetapi orang lain boleh. Jadi saya anggap teguran sebagai untuk saya lakukan dengan baik pada masa hadapan. "Sebagai pelakon saya sentiasa cuba berikan persembahan berlainan agar penampilan saya tidak stereotaip dan proses pembelajaran itu sebenarnya tidak pernah berhenti. Saharul menerima dua trofi pada malam kemuncak APO2016. "Setiap hari bukan saya sahaja tetapi pelakon senior pun akan belajar sesuatu yang baharu dalam memantapkan lagi mutu persembahan dalam sesebuah drama atau pun filem," jelasnya. Sementara itu, Saharul berkata, selepas memenangi beberapa trofi atas undian peminat termasuk APO2016, dia mensasarkan agar bakatnya sebagai pelakon diadili oleh juri profesional pada masa hadapan. "Saya memang berharap pada masa hadapan bakat lakonan saya diadili pula oleh juri profesional seperti menerusi Anugerah Skrin (ASK) atau Festival Filem Malaysia (FFM) dan jika mendapat pencalonan pun ia sudah satu pencapaian besar untuk saya. "Sebab itu saya sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki dan mencabar diri kerana ingin menjadi seorang pelakon berkaliber," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Saharul berkata, dia bakal muncul dengan filem terbitan Astro Shaw iaitu Hantu Rumah Sakit Jiwa selain dua drama bersiri bersempena Ramadan iaitu Seindah Takdir Cinta dan Assalamualaikum Cinta.