KUALA LUMPUR: Pelakon baharu Mimi Lana menyangka karier lakonannya bakal berakhir selepas dia direman selama 11 hari ekoran dakwaan mengedar dadah selepas pihak polis menyerbu rumah sewanya pada September tahun lalu. Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 21, berkata, walaupun telah terbukti dia tidak bersalah namun namanya tetap digam oleh sesetengah stesen televisyen ekoran kejadian itu. "Saya betul-betul menyangka karier saya yang baharu sahaja bermula sudah pun musnah apabila nama saya turut digam kerana kejadian itu. "Selepas dibebaskan tawaran berlakon sudah tiada dan projek yang telah dipersetujui dibatalkan kerana stesen televisyen tidak mahukan saya. Mimi bersyukur kariernya kembali berjalan seperti biasa. "Buntu saya mengenangkan nasib saya ketika itu kerana tidak tahu bagaimana ingin membersihkan nama walaupun saya didapati tidak bersalah," katanya kepada mStar Online. Mimi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program bersempena Ramadan dan Syawal HyppTV di Menara Kuala Lumpur di sini, Khamis. Kejadian itu turut menyaksikan dua rakan serumah Mimi ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan memiliki dan mengedar dadah. Menjelaskan perkara itu, Mimi menyifatkan dia berada pada tempat dan waktu yang salah ketika rumah tersebut diserbu pihak polis. Kata Mimi, ketika hari kejadian dia baharu sahaja pulang dari Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran sebuah drama dan terus masuk ke bilik untuk berehat. "Jujurnya memang kami serumah tetapi saya tidak begitu rapat dengan mereka apatah lagi untuk mengambil tahu aktiviti seharian mereka kerana saya sendiri pun sibuk. "Kejadian sudah berlaku dan penahanan saya itu pun hanya bagi membantu siasatan sahaja. "Saya cukup lega kerana episod hitam dalam hidup saya itu sudah pun berakhir," jelasnya. Sementara itu, Mimi berkata, sejak kejadian itu dia telah pun berpindah ke rumah lain selain mengakui fobia untuk tinggal bersama individu yang tidak dikenali. Malah katanya, kerjayanya juga kembali pulih dan bersyukur atas kepercayaan diberikan pihak produksi kepadanya. "Saya tidak berputus asa dan sanggup bermula semula dari bawah kerana paling penting cita-cita untuk bergelar seorang pelakon berjaya terlaksana," katanya. Dalam perkembangan lain, Mimi berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk memegang watak utama menerusi drama bersiri Cinta Tangkap Muat sebanyak 30 episod yang bakal disiarkan menerusi HyppTV. Selain itu juga dia bakal terlibat dalam beberapa lagi projek lakonan selepas Aidilfitri kelak.