PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menegaskan keputusannya untuk memperlahankan segala aktiviti seni sehingga Hari Raya Aidilfitri depan masih dikekalkan namun itu bukan bermakna dia langsung enggan menonjolkan diri dalam mana-mana majlis. Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, 37, berkata, sehingga hari ini dia hanya menghadiri majlis berkaitan urusan perniagaan yang memerlukan dia memberi komitmen dalam usahasama menaikkan lagi nama dan perniagaan antara kedua-dua belah pihak. “Benar, saya masih dilihat menghadiri beberapa majlis dan ia disifatkan bercanggah oleh sesetengah pihak yang keliru dengan kenyataan saya sebelum ini untuk memperlahankan segala bentuk urusan seni seperti nyanyian. “Sebetulnya saya masih kekalkan kenyataan itu dan ingin saya jelaskan kehadiran saya dalam beberapa majlis selepas pengumuman itu dibuat adalah berkaitan dengan urusan dan komitmen saya dalam bidang perniagaan. Saya harap kenyataan ini jelas,” katanya kepada mStar Online. Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SimplySiti Mall Powerd by AmaxMall bersama Asiaspace Sdn Bhd di Kuala Lumpur Golf & Country Club, di sini, Khamis. Siti Nurhaliza. Dalam perkembangan sama, Siti menegaskan selepas mengumumkan untuk memperlahankan aktiviti seni, dia tidak lagi menerima tawaran atau undangan nyanyian daripada mana-mana pihak sehingga akhir Ramadan. “Saya memang 'gantung mic' untuk tempoh sekarang sehingga nak berkaraoke di rumah pun saya malas. Kalau dilihat menyanyi pun, itu atas dasar untuk menyerikan majlis sahaja. Seperti hari ini, saya diminta menyanyikan dua buah lagu untuk hiburkan tetamu, itu sahaja,” katanya. Tambahnya lagi, hampir sebulan tidak menyanyi secara serius (paling akhir pada April lalu untuk konsert di Stadium Negara), dia akui agak kekok untuk mengekalkan lenggok nyanyian. Perkara itu membuatkan dia memerlukan masa hampir dua jam untuk warm-up di studio rakaman ketika merakamkan lagu raya berjudul 'Hari Kemenangan' ciptaan Pak Ngah Suhaimi baru-baru ini. Sementara itu, bercerita tentang kerjasamanya dengan Amax Mall, kata Siti ia bertujuan menyahut seruan kerajaan dalam usaha meningkatkan jumlah usahawan atas talian yang sekali gus dapat mengurangkan kos operasi dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti perniagaan. Enam tahun nama SimplySiti memonopoli pasaran tempatan, Siti menegaskan sudah tiba waktunya dia meluaskan empayar perniagaan menerusi sistem dalam talian dengan kerjasama Amax Mall dalam usaha memberi kemudahan terbaik kepada pengguna setia SimplySiti tidak sahaja di dalam negara, malah di luar negara juga. Amax Mall adalah produk syarikat Asiaspace Sdn Bhd yang diperkenalkan pada tahun lalu dan merupakan platform eDagang pelbagai vendor di mana para usahawan dapat memiliki kedai atas talian bagi memaparkan produk dan perkhidmatan masing-masing.