suria

Dua Tahun 'Solo', Sari Yanti Belum Sedia Kahwin Lagi

Sari Yanti selesa dengan kehidupan solo dan masih belum terfikir untuk mencari pasangan hidup.
PETALING JAYA: Pelakon Sari Yanti masih belum terfikir untuk mencari pengganti selepas bercerai dengan bekas suaminya, Mohd Edy Casmadi Che Hussin pada 11 Disember 2014.

Pemilik nama sebenar Sari Yanti Mohamad Nazari, 32, itu berkata, buat masa ini dia selesa dengan kehidupan solo selain dapat memberi fokus kepada pembesaran dua anak lelaki dan karier seninya.

"Jujurnya saya sendiri tidak tahu sama ada saya sudah bersedia atau pun tidak untuk berkahwin semula.

"Pada tahap sekarang saya tidak terlalu memikirkan soal perkahwinan kerana sibuk menguruskan anak-anak selain karier juga padat dengan pelbagai aktiviti," katanya kepada mStar Online.

Sari Yanti dan Mohd Edy berkahwin pada 16 Januari 2009 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Barr Al Aliy, 6, dan Basit Al-Haq, 4.

Dalam pada itu, Sari Yanti berkata, sebagai manusia biasa perasaan sunyi dan ingin hidup dalam alam rumah tangga adalah perkara biasa dan mengakui pernah berfikir mengenainya.

Sari Yanti serah soal jodoh kepada ketentuan Allah.

Bagaimanapun dia menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan ketentuan Allah.

"Jika saya belum pernah berkahwin mungkin saya agak risau kerana belum berumah tangga tetapi saya sudah melalui kitaran berkahwin, mempunyai anak dan bercerai.

"Ada saya terfikir tentangnya tetapi ia sekadar itu sahaja dan tidak terburu-buru pun hendak mencari pengganti.

"Insya-Allah jika ada jodoh pasti saya berkahwin dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sari Yanti berkata, dia kini lebih selektif terhadap tawaran lakonan diberikan kepadanya kerana ingin menyesuaikan masa anak-anaknya.

"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mengambil projek yang memerlukan waktu panjang di lokasi kerana anak-anak pun sudah bersekolah jadi keperluan mereka perlu saya utamakan.

"Atas sebab itu juga saya banyak mengambil tawaran telefilem berbanding drama bersiri kerana waktu penggambaran lebih pendek," katanya.

Sementara itu, Sari Yanti berkata, dia bakal muncul dalam sebuah drama berjudul Lip Lap Raya yang menggandingkannya dengan pelakon berasal dari Uzbekistan, Daler Yusof.

Sari Yanti

Artikel Lain