suria

"Orang Lain Buat Salah Nama Saya Busuk" - Aweera

Aweera sedar dakwaan dia dikatakan bersikap mungkir janji dan sering membatalkan persembahan disaat akhir kerana mendapat tawaran lebih lumayan.

PETALING JAYA: Penyanyi Aweera menyedari ada pihak tidak berpuas hati dengannya apabila dia dikatakan mungkir janji dan sering membatalkan persembahan di saat-saat akhir jika mendapat tawaran lebih lumayan.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, 25, berkata, tuduhan berkenaan tidak adil kerana dia juga mangsa dalam situasi itu kerana kebanyakan urusan persembahan diuruskan oleh pihak syarikat rakamannya, Sony Music.

"Saya sebenarnya sudah letih apabila pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya tanpa orang tahu mengenai situasi sebenar.

"Tetapi kesalahan yang dibuat oleh pihak lain dituding jari ke arah saya tetapi sebenarnya saya juga mangsa keadaan.

"Tuduhan itu tidak adil kerana saya bukan seperti didakwa malah ada tawaran dibuat syarikat pengurusan saya sendiri tidak dimaklumkan tetapi akhirnya nama saya yang busuk," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Aweera berkata, dia juga tidak pernah bersikap 'demand' terhadap tawaran diberikan kerana sedar dia bukan seorang penyanyi bertaraf kelas atas untuk berbuat demikian.

Malah kata Aweera, selain persembahan diuruskan pihak Sony Music, dia bersama pengurusnya turut mencari tawaran dan ia bukan datang bergolek kepadanya.

"Saya bukan penyanyi yang bayarannya sekali menyanyi boleh menapung perbelanjaan untuk sebulan tetapi orang salah faham ingat saya bersikap 'demand' dan sesuka hati membatalkan persembahan.

"Saya cari tawaran sendiri kerana ini punca rezeki saya dan takkan saya hendak buat seperti apa yang didakwa itu. Apa yang berlaku adalah masalah komunikasi," katanya.

Sementara itu, Aweera berkata, dakwaan dan kontroversi yang melandanya sebelum ini banyak mengajar dia menjadi lebih matang.

"Hendak kata saya lama atau baru sangat sebagai penyanyi tidak juga tetapi banyak saya belajar dan ia mematangkan saya.

"Saya tidak pernah anggap diri saya besar dalam industri dan tahu kedudukan saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aweera berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya selepas sambutan hari raya nanti.

Aweera

Artikel Lain