PETALING JAYA: Pelakon Fattah Amin sanggup mengambil risiko melakukan aksi lagak ngeri dalam filem terbaharu iaitu KL Special Force yang menggandingkannya bersama barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof. Fattah, 26, berkata, dia ingin membuktikan bahawa dia adalah seorang pelakon versatil selain mahu memberikan persembahan terbaik menerusi filem pertama lakonannya itu. "Saya sedar ia bahaya dan pihak produksi pun tidak memaksa saya melakukannya tetapi ia pilihan saya kerana ingin memberikan yang terbaik. "Ini peluang saya untuk membuktikan saya bukan sekadar pelakon yang menghiasi drama-drama bertemakan romantik tetapi lebih daripada itu," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Fattah berkata, sebelum melakukan sebarang aksi merbahaya seperti terjun daripada bangunan dia terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada pakar lagak ngeri yang disediakan pihak produksi di set penggambaran. Fattah teruja dapat bergandingan dengan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof. Jelas Fattah, dia terlebih dahulu diajar untuk melakukan aksi lasak dengan cara yang betul namun mengakui ia bukan perkara mudah. "Bukan seratus peratus adegan lasak saya lakukan dan hanya memilih beberapa yang saya fikir mampu saya buat tanpa mendatangkan bahaya. "Mengalami kecederaan kecil itu perkara biasa tetapi paling penting saya puas dapat memberikan sesuatu diluar jangkaan saya sendiri," ujarnya yang memegang watak sebagai anggota polis dalam filem berkenaan. Sementara itu, Fattah berkata, dia teruja dapat bekerja dibawah nama besar menerusi filem itu selain mendapat pelbagai tips dan nasihat dalam memperbaiki mutu persembahannya pada masa akan datang. "Datuk Rosyam, Syamsul malah pengarahnya, Syafiq Yusof banyak beri tunjuk ajar dan saya sangat rendah diri dapat bekerja bersama individu-individu hebat ini. "Banyak yang saya pelajari dan berharap hasilnya nanti dapat diterima baik oleh penonton dan peminat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Fattah berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem istimewa Hello Mr. Perfect Raya selain terpilih sebagai duta kempem Syukur Selalu. "Bulan Ramadan ini aktiviti seni akan berjalan seperti biasa dan Alhamdulillah dengan pelantikan sebagai duta Syukur Selalu saya akan terlibat dalam beberapa program yang diatur oleh pihak TV3 dan TV9 untuk bertemu peminat," katanya.