suria

Anita Baharom Perlahankan Kerjaya Seni Kerana Berdakwah

Anita Baharom akui rindu untuk berlakon.

PETALING JAYA: Pelakon Anita Baharom memberitahu dia kini mula berjinak-jinak dalam melakukan aktiviti amal kebajikan bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Amal.

Anita, 33, berkata, ia memberi pengalaman baharu yang berbeza buat dirinya yang kini lebih mendedahkan diri dengan aktiviti-aktiviti menyebarkan dakwah.

"Saya kini mula berjinak-jinak menyertai aktiviti amal kebajikan sambil berdakwah yang anjurkan Yayasan Amal untuk membantu masyarakat susah di pedalaman.

"Akhir bulan lalu kami ke Sarawak untuk membantu masyarakat di sebuah kampung Bungan Kecil di Sibu yang tidak mempunyai keperluan asas termasuk tiada bekalan elektrik," ujarnya kepada mStar Online.

Anita berkata, dia bersama kumpulannya melalui hampir dua jam perjalanan menerusi bot untuk ke kampung berkenaan.

Mereka juga berada di kampung tersebut selama lima hari untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat di kawasan itu.

"Kami tinggal di sana untuk lima hari dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Alhamdulillah kunjungan kami diterima baik masyarakat di sana.

"Insya-Allah selepas Aidilfitri, saya akan menyertai sekali lagi yang mana kami akan ke sebuah kampung yang lebih jauh di pedalaman," ujarnya.

Dalam pada itu, Anita berkata, dia melakukan aktiviti kebajikan tersebut bukan disebabkan terikut-ikut trend segelintir rakan artis.

Namun, katanya, ia datang daripada dalam dirinya sendiri selepas dipelawa oleh seorang rakan yang aktif dengan kerja-kerja amal.

"Hati saya terbuka untuk melakukan kerja-kerja itu bukan sebab saya nak ikut-ikut seperti artis lain. Malah perjalanan saya bersama Yayasan Amal ini tidak disertai selebriti lain," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang kerjaya lakonan, pelakon yang dikenali menerusi sitkom Dunia Baru ini mengakui sudah memerlahankan kerjaya berkenaan.

Ia berikutan bagi menumpukan perhatian terhadap suami dan tiga orang anaknya.

"Saya sudah jarang ambil tawaran berlakon kerana anak-anak kini sedang membesar dan perlu diberi perhatian. Kali terakhir berlakon Qanun 99 pada tahun lalu.

"Namun, saya akui perasaan rindu untuk berlakon itu memang ada, sebab itu saya terima sahaja tawaran model iklan produk tertentu asalkan dapat beraksi depan kamera," ujarnya.

Anita Baharom

Artikel Lain