PETALING JAYA: Pelakon Syatilla Melvin dan suaminya Shaheizy Sam tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana pelanggan yang gagal mendapat pakaian dari butik Elle Zada meskipun mereka adalah duta kepada produk syarikat itu. Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 25, berkata, perkara tersebut perlu dijelaskan sendiri oleh pihak Elle Zada yang lebih mengetahui perjalanan operasi butik berkenaan. "Saya tidak tahu nak komen apa-apa kerana saya dan Sam seperti orang lain juga tiada jawapan. "Apa yang saya boleh katakan perkara yang berlaku itu di luar bidang kuasa dan kawalan kami. "Kami hanya duta kepada kempen raya butik berkenaan sahaja dan hanya bertanggungjawab untuk menjalankan promosi sahaja," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Ahad. Antara komen pelanggan yang tidak berpuas hati dengan butik Elle Zada. Syatilla diminta mengulas tindakan orang ramai yang mengamuk di butik Elle Zada akibat tidak menerima pakaian yang ditempah sejak beberapa bulan lalu. Selain itu, Syatilla dan Shaheizy Sam juga menerima kecaman di media sosial apabila pelanggan meminta pasangan ini bertanggungjawab dan memberi penjelasan tentang masalah yang berlaku. Sementara itu, pengasas butik Elle Zada, Elliyin Razif, 28, meminta orang ramai tidak menyalahkan selebriti berkenaan atas masalah yang berlaku. Katanya, kedua-dua selebriti itu sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dalam mempromosi produk keluarannya sempena Aidilfitri ini. "Sam dan Syatilla tidak bersalah dalam hal ini kerana ia ada masalah kelewatan ini berpunca daripada pihak pembekal. "Saya harap orang ramai tidak mengaitkan nama mereka dalam hal ini. Saya juga meminta maaf kepada Sam dan Syatilla kerana perkara ini telah menjejaskan nama mereka yang bersih," ujarnya. Dalam pada itu, pihaknya sudah mengadakan satu mesyuarat dengan pasangan tersebut dan menjelaskan keadaan sebenar. "Sam sangat ambil berat tentang hal ini terutama sekali apabila melibatkan peminat-peminatnya. Dia juga ada beri cadangan untuk selesaikan masalah ini. Syatilla dan Shaheizy Sam bersama pengasas butik Elle Zada Elliyin (dua dari kiri) dan suaminya. "Malah, dia minta kami keluarkan kenyataan secepat mungkin agar pelanggan dapat mengetahui masalah tersebut dan bersabar," ujarnya. Tambah Elliyin, pihaknya akan cuba untuk menyelesaikan masalah kelewatan itu sebelum menyambut Aidilfitri. "Pembekal tidak dapat menyiapkan pakaian-pakaian yang kami tempah pada tarikh yang ditetapkan, kami cuba untuk cari alternatif lain, namun terdapat beberapa masalah lain pula. "Namun, Insya-Allah ia akan diselesaikan sebelum Aidilfitri ini, masalah ini memang di luar jangkaan kami," ujarnya.