suria

Haiza Tuntut Agensi Pelancongan Pulangkan Wang Peminatnya

Haiza bimbang namanya digunakan oleh agensi pelancongan tersebut.

PETALING JAYA: Penyanyi Haiza menuntut sebuah agensi pelancongan supaya memulangkan semula wang deposit daripada peminat-peminatnya yang sudah dibayar bagi menyertai percutian di Lombok Indonesia.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 36, berkata, agensi tersebut seharusnya bertanggungjawab terhadap pelanggan setelah membatalkan percutian berkenaan.

"Saya menerima aduan daripada beberapa peminat yang sudah membuat pembayaran untuk mengikut saya bercuti di Lombok atas hadiah kemenangan saya pada tempat keenam pada Gegar Vaganza musim 2  lalu.

"Mereka buat bayaran pada Januari lalu dan pada bulan Mac lepas agensi itu sudah membatalkan percutian berkenaan dan berjanji untuk memulangkan semula wang pendahuluan yang sudah mereka ambil iaitu hampir RM2,000," ujarnya kepada mStar Online.

Haiza memenangi hadiah pakej bercuti di Lombok, Indonesia tajaan Mycentrio Holidays setelah menududuki tempat keenam pada program realiti Gegar Vaganza 2 yang berlangsung pada Disember 2015.

Dalam pada itu, Haiza menjelaskan kesulitan berkenaan bermula apabila dia meminta agar tarikh percutian yang ditetapkan pada Mei ditunda pada satu tarikh lain.

Haiza bersama Rahmad (Mega) pada Gegar Vaganza muzim kedua tahun lalu.
"Sepatutnya saya pergi pada Mei lalu, namun saya agensi pelancongan terbabit menunda pada bulan lain kerana ada kekangan kerja. Pada awalnya mereka kata boleh kerana belum membuat sebarang tempahan.

"Namun sehingga sekarang tiada khabar tentang perkara itu, sebab itu saya minta mereka pulangkan sahaja semua wang deposit yang sudah peminat saya bayar," ujarnya.

Tambah penyanyi itu, dia sudah menghubungi pihak agensi terbabit, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

Katanya, agensi itu juga berdolak-dalih untuk membuat pembayaran balik wang berkenaan.

"Saya sendiri sudah menghubungi pihak agensi, namun mereka mengakui terdapat beberapa masalah dalaman. Malah, pihak agensi cuba menyalahkan individu yang menguruskan hal pembayaran itu.

"Bagaimanapun, menurut peminat saya, wang tersebut dimasukan ke akaun syarikat berkenaan dan bukan ke akaun peribadi individu tertentu," ujarnya.

Jelas Haiza, dia berasa malu dan perlu bertanggungjawab dengan perkara yang turut mengaitkan namanya.

Dia juga bimbang agensi pelancongan itu menggunakan namanya dalam menarik perhatian orang ramai.

"Sudah tentu saya rasa malu kerana mereka beli pakej itu kerana saya dan kebanyakkannya mereka di kalangan peminat yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

"Setakat ini ada tiga orang yang mengadu tentang perkara ini dan saya diberitahu sebenarnya ada 18 orang peminat saya sudah mengesahkan untuk bercuti bersama-sama," ujarnya.
Haiza Hanafi

Artikel Lain