PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM Suraya Borhan, 34, berharap pendengar Ceria Petang Suria tidak membandingkan cara penyampaiannya dengan Linda Onn yang sinonim dengan segmen tersebut sebelum ini. Suraya atau nama sebenarnya Suraya Borhan, 34, bagaimanapun berkata, dia optimis pendengar akan menerima kehadirannya dan rakan penyampai, Tyzo kerana masing-masing mempunyai pengalaman selain kelompok pendengar tersendiri. "Saya jujurnya tidak menjangkakan akan bersiaran segmen Ceria Petang Suria tambahan pula ia sangat sinonim dengan Linda yang kita tahu adalah nama besar dalam bidang penyiaran radio. "Insya-Allah saya akan buat cara saya dan tidak mahu dibayangi oleh Linda," katanya kepada mStar Online. Ceria Petang Suria bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 4 hingga 8 malam. Tyzo dan Suraya mengendalikan segmen Ceria Petang Suria. Bercakap lanjut mengenai tugas baharunya itu, Suraya berkata, dia selesa bergandingan dengan Tyzo kerana sebelum ini sudah terbiasa ke udara bersama teman setugas yang lain. Malah kata Suraya, dia berharap dapat menggunakan pengalaman di tempat kerja lama sebelum ini dalam memastikan Suria FM menjadi stesen radio nombor satu di Malaysia. "Saya lihat pembaharuan ini peluang saya untuk sama-sama naik bersama Suria FM dan berharap dapat berkongsi pengalaman dan idea baharu demi peningkatan stesen ini pada masa hadapan. "Alhamdulillah ada sedikit pengalaman bersama tempat lama sebelum ini diharap dapat digunakan di Suria FM," katanya. Dalam pada itu, Suraya berkata, selepas meninggalkan Hot FM pada Oktober 2014, dia bertugas sebagai Pegawai Khas kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek. Selain Suraya dan Tyzo, dua lagi penyampai baharu Suria FM adalah Zulin Aziz dan Fizi. Bagaimanapun kata Suraya, dia meninggalkan jawatan berkenaan pada Mac lalu selepas Hasan ditugaskan ke Cambodia sebagai duta besar di negara berkenaan. "Alhamdulillah bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri banyak memberi saya pengalaman baharu namun rezeki tidak bertahan lama. "Saya mengambil keputusan berhenti kerana tidak dapat mengikut beliau ke Cambodia dan sejak itu saya banyak buat kerja-kerja lain termasuk pengacara majlis sebelum pihak Suria FM menelefon saya," katanya.