PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Farid Kamil menyokong keputusan isterinya, Diana Danielle yang ingin mencebur diri dalam bidang nyanyian. Farid, 33, berkata, sebagai suami dia ingin Diana mencapai cita-citanya sekaligus berada di tahap yang diinginkan dalam kerjayanya sebagai anak seni. "Sebelum dia buat sebarang keputusan Diana ada bertanya dengan saya terlebih dahulu dan sebagai suami saya menyokong jika dia ingin bergelar penyanyi. "Itu adalah cita-citanya tambahan pula dia memang minat menyanyi jadi kenapa saya perlu menghalang. Diana Danielle. "Ini peluangnya untuk meningkatkan dirinya sebagai anak seni ke tahap lain," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Farid berkata, dia juga ada menasihati Diana agar melakukan persediaan yang mencukupi agar kemunculannya itu dapat memberi kesan. Jelas Farid, dia tidak mahu isterinya itu sekadar melepaskan batuk ditangga yang pada akhirnya memberi kesan buruk kepada kariernya. "Saya pesan kepadanya jika hendak menyanyi berikan yang terbaik dan lalukan persediaan rapi. "Alhamdulillah setakat ini saya lihat dia begitu bersungguh-sungguh dan melihat contoh resepi kejayaan penyanyi lain," katanya. Dalam perkembangan lain, Farid yang dilihat semakin susut memberitahu kesibukan berada dilokasi dan berpuasa menyebabkan dia hilang berat badan. Malah katanya selepas Aidilfitri dia bakal memasuki set penggambaran filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali yang menggandingkan dirinya bersama Ayda Jebat. "Hendak kata saya diet pun tidak kerana saya memang seorang yang jaga pemakanan tetapi mungkin kerana puasa dan kerja yang tidak putus-putus menyebabkan berat badan saya menyusut sedikit," katanya.