PETALING JAYA: Penyanyi Asfan menyangkal dakwaan mengalami sejenis penyakit apabila susuk tubuhnya dilihat semakin sebaliknya penurunan berat badan itu disebabkan tekanan kerja. Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin, 32, berkata, sepanjang Ramadan lalu dia banyak menghabiskan masa di studio bagi menyiapkan album terbaharunya sehingga kurang berehat. "Alhamdulillah saya sihat dan minta dijauhkan daripada sebarang penyakit tetapi penurunan berat badan saya mungkin disebabkan oleh tekanan kerja. "Saya sibuk dengan kerja-kerja di studio sehingga kadang-kadang terlupa untuk makan ditambah waktu rehat yang kurang. Asfan mengamalkan pemakanan sihat. "Saya bimbang juga dengan keadaan ini tetapi ia hanya bersifat sementara sahaja," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Asfan berkata, dia tidak mengetahui berapa berat badannya terkini namun kebiasaannya sekitar 60 kilogram. Malah kata Asfan, dia juga tidak mengamalkan sebarang diet untuk kurus namun mengakui lebih bersikap memilih menu makanan. "Saya tidak berdiet dan bersenam juga sudah lama saya tidak lakukan kerana sibuk tetapi saya memang seorang yang memilih makanan. "Kebiasaannya saya memang mengelak daripada mengambil makanan berkolestrol tinggi atau berlemak," jelasnya. Sementara itu, Asfan berkata, dia berazam untuk meningkatkan kembali berat badannya kerana tidak suka melihat keadaan fizikalnya sekarang. Bagaimanapun katanya, dia tidak berhasrat membina otot seperti mana kebanyakkan selebriti lelaki lain. "Kalau saya pelakon mungkin saya berminat untuk memiliki badan 'sado' tetapi sebagai penyanyi rasanya tidak perlu," ujarnya.