BENTONG: Pelakon Ezzaty Abdullah bercerita, berlaku perbalahan dengan suaminya, Azwan Kombos gara-gara mereka tidak sependapat berhubung lokasi berbulan madu yang ingin dipilih. Ezzaty, 26, bagaimanapun berkata, Azwan akhirnya mengalah lalu menyerahkan kepadanya untuk menentukan lokasi percutian mereka dan dia memilih London. "Saya suka London tetapi Azwan pula gemarkan lokasi yang mempunyai pantai dan kerana itu kami berbalah untuk memilih lokasi bulan madu. "Bagaimanapun Azwan memberi saya untuk putuskan percutian kami dan Insya-Allah kami akan berangkat ke London pada 20 Julai ini," katanya kepada mStar Online. Azwan atau nama sebenarnya Mohd Al Azwan Kombos, 31 dan Ezzaty selamat bergelar suami-isteri dengan skeali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di sini pada Sabtu. Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Abdullah Mat Isa dan disaksikan oleh Jurunikah Daerah Bentong, Mohd Rasmawi Harun. Azwan dan Ezzaty bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz. Dalam pada itu, Ezzaty berkata, dia memilih London sebagai lokasi bulan madu kerana pernah melancong ke negara itu sebelum ini. Jelasnya, dia ingin merasai pengalaman bersiar-siar di sana sekali lagi bersama suaminya. "Saya suka kota London, jadi saya ingin sekali lagi ke sana dan kali ini ditemani suami pula. "Bulan madu seterusnya kami akan pilih untuk bercuti di pantai pula," katanya. Sementara itu, Azwan berkata, dia akan membenarkan isterinya untuk meneruskan karier seninya seperti biasa kerana yakin Ezzaty tidak akan melanggar batas. Bercakap mengenai anak pula, Azwan tidak menolak sekiranya diberi rezeki awal menimang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka. "Perancangan selepas berkahwin tiada yang tertentu termasuk soal anak jika awal lebih baik manakala soal kerjaya Ezzaty pula saya tidak halang kerana itu minatnya. "Sebagai isteri saya yakin dia dapat menjaga batas diri agar tidak berlaku fitnah," katanya.